Zahir erti kemerdekaan dengan kibar 1,000 bendera di halaman rumah

Zahir erti kemerdekaan dengan kibar 1,000 bendera di halaman rumah

Beaufort: “Setiap kali bulan Ogos, saya bersemangat untuk menghias halaman rumah dengan banyak Jalur Gemilang dan bendera Sabah,” kata Mohd Arif Abdullah, 55, penduduk Kampung Melati, di, sini.

Katanya, tahun ini dia berjaya mengibarkan sebanyak 1,000 helai bendera di halaman rumah sebagai tanda sambutan bulan kemerdekaan bermula.

Mohd Arif bersama isterinya, Linah memasang bendera Jalur Gemilang di halaman rumah mereka di Kampung Melati, Beaufort.

“Saya pasang bendera ini setiap bulan lapan sejak 2014 kerana semangat untuk meraikan sambutan bulan kemerdekaan.

“Saban tahun saya akan menambah bilangan bendera dan tahun ini saya tambah sebanyak 85 helai sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan Jalur Gemilang dan bendera Sabah yang menghiasi halaman rumah adalah sebanyak 1,000 helai,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini.

Katanya lagi, untuk memasang kesemua 1,000 helai bendera itu memerlukan masa selama dua hingga tiga hari termasuk mencari buluh untuk digunakan sebagai tiang bendera.

“Biasanya, usaha memasang bendera ini dilakukan bersama isteri dan kami akan pasang pada waktu malam bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

Mohd Arif bersama isterinya, Linah di halaman rumah mereka dengan berlatarbelakangkan hiasan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di Kampung Melati, Beaufort.

“Tiang bendera pula saya dapat dari pokok buluh yang dicari di hutan dan akhirnya saya bersama isteri berjaya menyiapkan dalam tempoh dua hingga tiga hari saja,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Linah Momin, 68, berkata, dia berasa senang hati apabila rumahnya kelihatan ceria dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

“Semua ini hasil daripada tangan kami berdua dan saya sangat gembira apabila rumah kami menjadi tumpuan orang ramai yang lalu lalang berhampiran jambatan Beaufort.

“Selain dihiasi dengan kibaran bendera, beberapa bunga hiasan yang diperbuat daripada barangan terpakai seperti botol plastik turut menceriakan kawasan halaman rumah saya sehingga menarik lebih ramai pengunjung untuk merakam gambar kenangan,” katanya.

Katanya lagi, ini adalah cara untuk mereka menzahirkan erti kemerdekaan yang dikecapi selama hampir 60 tahun bagi di Sabah.

“Kalau orang dahulu menzahirkan erti kemerdekaan lain caranya, kami pula cara menzahirkan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah setiap kali menjelang bulan Ogos,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|