Perbadanan Labuan, UMSKAL bersama bangunkan Labuan

Perbadanan Labuan, UMSKAL bersama bangunkan Labuan

Labuan: Perbadanan Labuan merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk melonjakkan kembali ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusinya, Senator Datuk Bashir Alias, berkata beberapa kaedah sudah dirangka dengan kerjasama agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan Labuan berada di landasan yang tepat ke arah pembangunan lebih mapan pada masa depan.

Bashir (empat kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohamad Rizal Abd Hamid di Menara Perbadanan Labuan.

Beliau berkata, selain sektor ekonomi, sektor lain yang turut diberi perhatian ialah pelancongan, pendidikan tinggi, sukan, bidang keagamaan serta industri kecil dan sederhana (IKS) selain keusahawanan.

Katanya, usaha itu adalah antara langkah untuk menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara berkunjung ke pulau bebas cukai ini.

Bashir (kiri) bersama Dr Mohamad Rizal.

“Perbadanan Labuan akan memastikan Labuan setanding dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya bukan sahaja dari aspek pembangunan fizikal tetapi juga mampu menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis kunjungan hormat Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abd Hamid di Menara Perbadanan Labuan, di sini, semalam.

Bashir (kanan) mengadakan perbincangan dengan Mohamad Rizal di Menara Perbadanan Labuan.

Turut menyertai delegasi UMSKAL ialah Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah; Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa), Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Madya Dr Muzaffar Hamzah; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Rini Suryati Sulong dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin.

Hadir sama ialah dua Pegawai Datuk Bashir, Ghani Yunus dan Mohd Dzulfaizal Ab Manan.

Bashir berkata, hubungan baik dan kerjasama pintar perlu dijalin dengan UMSKAL selaku Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tunggal di Wilayah Persekutuan Labuan bukan sahaja untuk meningkatkan prestasi pendidikan tinggi tetapi juga menjadikan bidang itu sebagai tarikan lebih ramai pelajar tempatan dan luar negara melanjutkan pengajian tinggi mereka di sini.

Sementara itu, Dr Mohamad Rizal berkata UMSKAL akan terus bekerjasama dengan Perbadanan Labuan selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Labuan menerusi perkongsian ilmu dan kepakaran yang dimiliki pensyarah FKAL, FKI dan Pusat Penataran, Ilmu dan Bahasa (PPIB) untuk membangunkan Labuan.

Beliau turut memaklumkan kehadiran pensyarah, kakitangan dan pelajar dari dalam dan luar negara mampu membantu menjana ekonomi dan industri pelancongan tempatan.

“Kami sentiasa berusaha menarik kehadiran pelajar luar negara termasuk dari negara-negara ASEAN seperti Indonesia untuk melanjutkan pengajian tinggi di UMSKAL.

“UMSKAL juga terbuka kepada komuniti setempat untuk berkongsi ilmu dan kepakaran yang dimiliki pensyarah kami,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|