Kota Kinabalu: Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah, Datuk Jasni Matlani menyerahkan beberapa naskah buku Antologi Puisi Keluarga Malaysia kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam.
Bung Moktar diwakili oleh Setiausaha Akhbarnya, Jaafar Abdul Wahid dalam satu majlis ringkas di Kota Kinabalu.
Menurut Jasni, antologi puisi Keluarga Malaysia terbitan Iris Publishing & Distriubutors itu memuatkan sebanyak 104 puisi yang dihasilkan beberapa pemimpin negeri dan penulis tempatan.
Katanya, ia sebagai satu apresiasi bagi berkongsi suara hati, inspirasi dan pemikiran mereka dalam menterjemah slogan Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.
Jasni berkata Bung Moktar adalah antara pemimpin di negeri ini yang bukan sahaja menyumbang dana kewangan untuk membiayai penerbitan antologi itu, malah turut menyumbang sebuah puisi dalam antologi berkenaan.
“Sebagai penghargaan dan terima kasih Badan Bahasa dan Sastera Sabah, hari ini (semalam) kita menyampaikan beberapa naskah antologi untuk simpanan beliau (Bung Moktar),” katanya.
-Deasoka