Kota Kinabalu: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan negeri untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan mengenai anti lompat parti di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presidennya, Datuk Seri Madius Tangau, berkata pembentangan RUU itu perlu disegerakan dan memastikan ia menjadi kenyataan pada persidangan DUN yang akan datang.
“UPKO menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa Kabinet Negeri telah bersetuju untuk membawa RUU Anti Lompat Parti pada persidangan khas DUN dalam masa terdekat.
“UPKO berharap kerajaan Sabah akan mengambil segala langkah bagi memastikan RUU itu menjadi kenyataan pada sidang DUN akan datang. Sekiranya perlu UPKO berharap kerajaan Sabah akan memanggil sidang DUN khas dan tidak wajar ada sebarang kelewatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, UPKO berpandangan bahawa langkah membawa RUU berkenaan ke DUN amat penting selaras dengan tindakan yang telah diambil oleh Parlimen Malaysia baru-baru ini.
“UPKO mahu RUU itu diluluskan dengan segera dan dikuatkuasakan dengan segera bagi mengelakkan perbuatan melompat parti di peringkat negeri.
“Meskipun DUN kemungkinan tidak akan dibubarkan apabila Parlimen dibubarkan, tetapi keperluan untuk mengadakan undang-undang melarang lompat parti amat penting di peringkat negeri Sabah,” katanya.
Madius berkata, UPKO juga berharap Kerajaan Sabah akan mengadakan perbincangan dengan semua parti utama di Sabah apabila membawa RUU itu ke DUN.
Hajiji mengumumkan keputusan Kabinet negeri untuk membentangkan RUU pindaan Perlembagaan Negeri berhubung anti lompat parti pada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Keningau, Sabtu lalu.
Sebelum ini Dewan Rakyat dan Dewan Negara sudah meluluskan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti di peringkat Parlimen.
-Deasoka