Dua individu hilang di sungai ditemui selamat

Dua individu hilang di sungai ditemui selamat

Sandakan: Dua individu yang dilaporkan hilang di Sungai Seguntur Batu 10, di sini, ditemui selamat petang tadi.

Kedua-dua mangsa ditemui oleh pasukan tentera di kawasan Kuala Sungai Kinabatangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian dua individu hilang di sungai berkenaan, jam 10.26 pagi tadi, sepasukan bomba bergerak ke tempat kejadian.

Katanya, tindakan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan membuat pencarian surface water rescue di lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan dijumpai selamat oleh pasukan tentera di kawasan Sungai Kinabatangan iaitu di luar kawasan pencarian.

“Operasi pencarian kemudian ditamatkan pada 2.47 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Operasi pencarian turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Terdahulu, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang di Sungai Seguntur Batu 10, sejak semalam selepas gagal ditemui.

Pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan orang hilang di sungai kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat, sebelum kedua-dua mangsa ditemui selamat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|