Nelayan hilang di Sipitang ditemui selamat

Nelayan hilang di Sipitang ditemui selamat

Sipitang: Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang sejak semalam, ditemui selamat, hari ini.

Nordin Yusof, 53, ditemui jam 2.05 petang oleh pasukan bomba kira-kira 3.7 kilometer pesisir laut dari Merintaman Sipitang ke Melalamin Western.

Pasukan bomba bersama polis yang menjalankan operasi pencarian nelayan yang dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian dijalankan selepas menerima panggilan kecemasan, jam 10.47 pagi berhubung seorang nelayan tidak pulang ke rumah sejak semalam, di kawasan muara sungai Kampung Merintaman.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pasukan bomba kemudian melakulan surface water rescue di lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Pada 2.05 petang, pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian kemudian ditamatkan kira-kira jam 3 petang.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sejak semalam di kawasan muara sungai di Kampung Merintaman, Sipitang.

Operasi pencarian kemudian dijalankan oleh anggota bomba dari BBP Sipitang dan PDRM.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|