Pendaki Gunung Kinabalu cedera terjatuh diselamatkan

Pendaki Gunung Kinabalu cedera terjatuh diselamatkan

Ranau: Seorang pendaki diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas cedera akibat terjatuh ketika mendaki gunung di kilometer 6 Panalaban Sick, di sini, hari ini.

Lelaki warga tempatan itu dilaporkan mengalami cedera ringan di bahagian tangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.30 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal kepada mangsa seterusnya mengiringi turun hingga ke Timpohon Gate.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada 2.35 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|