Tiga rumah rosak, 66 berdepan risiko roboh

Tiga rumah rosak, 66 berdepan risiko roboh

Kota Belud: Tiga rumah dilaporkan rosak manakala 66 lagi dikhuatiri roboh selepas dilanda ombak ekoran fenomena air pasang besar, tengah malam tadi.

Dalam kejadian di Kampung Buah Pandai, di sini, jam 12 tengah malam itu, ketiga-tiga rumah atas air berkenaan mengalami kerosakan lantai termasuk sebuah lagi beranda rumah dilaporkan roboh.

Pasukan bomba menjalankan pemantauan di lokasi kejadian fenomena air pasang besar di Kampung Buah Pandai, Kota Belud.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah malam.

Katanya, sepasukan 18 anggota dan pegawai bersama jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pacuan empat
roda serta lori terus dikerah ke lokasi kejadian.

Anggota bomba menjalankan pemeriksaan jambatan yang rosak akibat fenomena air pasang besar di Kampung Buah Pandai, Kota Belud.

“Kebanyakan rumah di perkampungan berkenaan terancam berikutan fenomena air pasang besar.

“Dianggarkan sebanyak 66 rumah lagi turut terancam selain 10 peratus kerosakan pada keseluruhan jambatan di kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Pasukan bomba memindahkan penduduk yang terjejas susulan fenomena air pasang besar di Kampung Buah Pandai, Kota Belud.

Menurutnya, semua mangsa sudah berpindah ke rumah saudara mara manakala sebahagian kecil pula berpindah ke Masjid Kampung Buah Pandai.

Katanya, pemantuan masih dijalankan oleh pasukan operasi bomba di sekitar lokasi kejadian.

Keadaan jambatan yang rosak susulan fenomena air pasang besar di Kampung Buah Pandai, Kota Belud.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika ini leadaan air laut dilihat semakin surut.

“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.18 pagi ” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|