Warga emas antara 13 mangsa diselamatkan susulan fenomena air pasang besar

Warga emas antara 13 mangsa diselamatkan susulan fenomena air pasang besar

Kota Kinabalu: Seorang warga emas yang menghidap penyakit usus diselamatkan selepas rumahnya di Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, rosak teruk susulan kejadian fenomena air pasang besar, awal pagi tadi.

Chong Kai Ki, 70-an, yang tinggal berseorangan dipindahkan ke Dewan Sembulan, oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebaik menerima maklumat kira-kira jam 1 pagi.

Ketua operasi APM Kota Kinabalu, SM (PA) Safaruddin Rusline berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian itu, pasukan pemantau APM Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian didapati air laut di kawasan berkenaan berombak susulan fenomena air pasang besar.

“Hasil pemeriksaan terdapat tiga rumah terjejas teruk dan salah satu rumah berkenaan adalah kediaman seorang warga emas.

“Anggota APM kemudian membawa keluar warga emas dan dipindahkan ke Dewan Sembulan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Safaruddin berkata, dua rumah lagi turut mengalami kerosakan dan struktur rumah tidak selamat didiami.

“Seramai 12 penghuni di dua rumah berkenaan telah berpindah ke balai raya dan rumah keluarga terdekat untuk berlindung.

“Tindakan pemantauan masih dijalankan oleh pasukan APM Kota Kinabalu di kawasan berkenaan,” katanya.

Operasi turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Pada 22 Disember lalu, dua rumah roboh dan sembilan lagi terjejas susulan fenomena air pasang besar serta ombak di Kampung Tanjung Aru Baru.

Seramai 32 keluarga membabitkan 270 orang dikenalpasti terjejas akibat fenomena ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|