15 rumah terjejas akibat fenomena air pasang besar di Menumbok

15 rumah terjejas akibat fenomena air pasang besar di Menumbok

Menumbok: Sebanyak 15 rumah terjejas susulan fenomena air pasang besar dan ombak di penempatan atas air Kampung Laut dan Sekalong, dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian yang dilaporkan bermula jam 11 malam hingga jam 1 pagi itu, bagaimanapun tiada laporan kemalangan jiwa atau rumah roboh ekoran bencana berkenaan.

Aminah menyampaikan sumbangan kewangan dan keperluan makanan kepada penduduk yang terjejas di Menumbok

Bagaimanapun kejadian itu menjejaskan penduduk kampung terlibat berikutan hampir keseluruhan rumah dimasuki air pasang selain memusnahkan harta benda.

Nasib menimpa penduduk terbabit mendapat perhatian Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching yang bergegas menemui penduduk terlibat di samping menghulurkan bantuan awal berupa kewangan dan keperluan makanan untuk meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah hari ini saya berpeluang menemui mereka yang terjejas di samping menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka dan turut bersyukur kerana tiada kejadian yang serius yang berlaku seperti rumah roboh sebagaimana yang berlaku di lain daerah seperti di Sandakan, Pitas, Kudat dan Tanjung Aru, Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa yang terlibat.

Dalam pada itu Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort meminta penduduk yang tinggal di kawasan pantai dan sungai agar sentiasa berwaspada ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan dan fenomena air pasang besar di beberapa daerah di negeri ini.

Katanya, penduduk terlibat terutamanya yang tinggal di pesisir pantai perlu berhati-hati dalam menghadapi fenomena air pasang besar dan sentiasa mendapatkan laporan terkini mengenai keadaan cuaca dari pihak yang berkuasa.

“Atas sebab keselamatan, saya meminta penduduk untuk mengosongkan rumah mereka dan menyelamatkan dokumen penting sekiranya fenomena seperti ini berlaku di luar jangkaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Beaufort itu juga meminta pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung (JPKK ) di kampung yang terlibat agar memantau keadaan jambatan menghubungkan antara rumah ke rumah yang mungkin mengalami kerosakan.

Aminah dan Mohd Fadzlee meninjau keadaan sebuah rumah penduduk yang dimasuki air ekoran fenomena air pasang besar

Menurut beliau jika berlaku kerosakan ianya perlu diperbaiki segera agar tidak menjejaskan kehidupan penduduk yang terlibat.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Daerah Mengundi Menumbok, Mohd Fadzlee Abdullah, pemimpin masyarakat setempat dan pegawai dari Pusat Parlimen Beaufort.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|