Situasi bencana air pasang besar, banjir beransur reda

Situasi bencana air pasang besar, banjir beransur reda

Kota Kinabalu: Trend semasa air pasang besar dan banjir di negeri ini menunjukkan penurunan dengan 1,589 mangsa dilaporkan pagi ini berbanding 1,647 mangsa dicatat petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bebcana Negeri Sabah berkata, jumlah itu membabitkan seramai 355 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada tiga buah daerah, iaitu Pitas, Kota Belud dan Sandakan.

Situasi di Kota Kinabalu dilihat semakin pulih apabila tiada mangsa dilaporkan dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muhibbah Sembulan ditutup.

“Penutupan PPS itu telah diisytiharkan pada 4.30 petang semalam, dan semua mangsa telah dihantar ke Jeti Pulau Gaya.

“Sementara itu, Pitas kekal mencatatkan angka mangsa tertinggi dengan 768 mangsa, disusuli Sandakan (686 mangsa) dan Kota Belud (135 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kesemua sembilan buah PPS yang beroperasi bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas akibat air pasang besar dan banjir menunjukkan trend kekal.

“Terdapat enam buah PPS yang beroperasi di Pitas, iaitu Balai Raya Agropolitan Kg. Pinggan-Pinggan (297 orang), Dewan Kg. Mempakad (163 orang), dan Dewan Terbuka Kg. Rosob (156 orang).

“Selain itu, ialah Gereja SIB Kg. Luntuk (79 orang), Dewan SMK Pinggan-Pinggan (57 orang) dan Dewan Terbuka Kg. Salimpodon (16 orang).

“Manakala, di Kota Belud, terdapat dua PPS beroperasi, iaitu Dewan SJK (C) Chung Hwa (73 orang) dan Dewan SK Pekan (62 orang).

“Sementara di Sandakan, terdapat sebuah PPS yang aktif dibuka di SK Sungai Anib 2 (686 mangsa),” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|