PETRONAS capai FID bangunkan fasiliti LNG di Sabah

PETRONAS capai FID bangunkan fasiliti LNG di Sabah

Kota Kinabalu: PETRONAS sudah mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) bagi pembangunan fasiliti gas asli cecair (LNG) berhampiran pesisir di Sabah.

Menerusi kenyataan bersama kerajaan negeri hari ini, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, berkata kontrak Perolehan Kejuruteraan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi projek itu diberikan kepada pemenang pertandingan Reka Bentuk Kejuruteraan Bahagian Hadapan (FEED) pada Oktober tahun lalu.

Katanya, projek LNG itu adalah langkah tepat sejajar usaha berterusan kerajaan negeri untuk mendapatkan lebih banyak hasil tambahan melalui penyertaan ekuiti untuk Sabah.

“Projek LNG ini adalah hasil daripada kajian bersama di antara kerajaan negeri dan PETRONAS untuk mengenal pasti pilihan pengewangan gas yang optima dalam usaha memaksimumkan putaran ekonomi jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.

FID berkenaan dan pemberian kontrak EPCC menandakan satu lagi pencapaian signifikan bagi projek berkenaan yang akan beroperasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Fasiliti LNG itu yang dijangka memulakan operasi komersial pada separuh kedua 2027 mampu mengeluarkan 2.0 juta tan setahun (MTPA) LNG.

Dengan beroperasinya loji terbaharu LNG itu, Sabah bakal memiliki fasiliti LNG terapung dengan kapasiti terbesar di dunia ketika ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PETRONAS yang juga Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas PETRONAS, Adnan Zainal Abidin berkata PETRONAS akan terus menyokong penggunaan gas asli secara meluas sejajar transisi ke arah rendah karbon pada masa depan.

“Kita akan memanfaatkan kepakaran teknologi kami untuk pembangunan projek ini bagi membuka sumber gas secara optimum dan mesra alam sekitar.

“PETRONAS kekal dengan tekad kita untuk menyokong aspirasi kerajaan negeri Sabah untuk industri minyak dan gasnya.

“Pembangunan fasiliti ini di bawah Pelan Induk Gas Sabah akan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Malaysia sebagai hab gas asli yang menarik serta menyumbang kepada kemakmuran Sabah dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Fasiliti LNG berhampiran pantai itu turut mengembangkan lagi portfolio global PETRONAS dalam aset LNG, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat penyedia LNG terbesar di dunia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|