Kota Belud: Hasil tuaian padi seramai 40 pesawah di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) BERNAS, di sini, meningkat lebih 60 peratus.
Mereka menjangkau sasaran apabila tuaian padi untuk musim pertama di Blok 3 dan 4, Kampung Jawi-Jawi mencatat peningkatan daripada 2.6 tan metrik sebelum ini kepada 4.15 tan metrik sehektar.

Penyelia SMART SBB Kampung Jawi-Jawi, Rajumin Jamrin berkata, peserta program itu menyatakan rasa gembira dan syukur atas perolehan hasil yang melebihi sasaran yang ditetapkan, iaitu 4.00 tan metrik sehektar.
Menurut beliau, mereka pada awalnya kurang yakin dengan program SMART SBB, namun setelah dicuba dan dilihat hasilnya, ramai yang mula tampil menunjukkan minat untuk menyertai program itu.

“Sawah seluas 42.34 hektar di sini telah ditanam dengan varieti padi TR8. Proses penuaian padi telah bermula pada 5 September lalu dengan jumlah hasil bersih sekitar 176 tan metrik atau purata hasil sekitar 4.15 tan metrik sehektar.
“Kini setelah masuk musim kedua, mereka secara sukarela mula mengikuti kaedah penanaman yang disarankan oleh BERNAS dan agensi-agensi yang terlibat.
“Selain itu, kemudahan jentera membajak dan menuai yang dahulunya sukar diperolehi di kawasan ini, kini telah dibekalkan oleh BERNAS.
“Ia telah memberikan keselesaan kepada para pesawah di samping menjimatkan masa dan tenaga mereka. Ini semua pasti akan tercapai jika peserta program mempunyai disiplin dan usaha yang berterusan, insyaAllah,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta muda, Hisham Stu berkata, ini merupakan kali pertama beliau mengusahakan sawah dan amat berpuashati dengan hasil yang diterima.
“Sebelum ini, saya memperolehi pulangan bersih hasil tuaian sawah sekitar RM2,000 semusim. Alhamdulillah setelah menyertai SMART SBB bersama BERNAS, ianya meningkat kepada RM6,000.
“Selain itu, kerja-kerja yang dahulunya berat dan merbahaya kini menjadi lebih mudah, terancang dan selamat dengan adanya teknologi seperti dron untuk membaja dan meracun rumpai.
“Bimbingan dari BERNAS dan agensi-agensi lain banyak membantu kami memahami cara menanam padi dengan lebih efisyen,” katanya.
Untuk rekod, SMART SBB diperkenalkan pada awal 2021 dan merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) untuk meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 atau sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Berdasarkan pencapaian setakat ini, program itu dilihat berada di landasan yang tepat dalam membimbing para pesawah dan memacu perubahan ke arah pembangunan sektor padi dan beras tempatan.
Setakat ini, BERNAS sedang dalam perancangan untuk membangunkan tanah seluas 127 hektar bersama 86 peserta di Kota Belud.
Pada masa yang sama, program itu akan diperluaskan lagi pada masa akan datang agar ia dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai pesawah.
-Deasoka