Dua anjing pengesan bantu SAR hari kedua budak 18 bulan hilang

Dua anjing pengesan bantu SAR hari kedua budak 18 bulan hilang

Beaufort: Dua anjing pengesan dari unit K9 digunakan bagi membantu operasi mencari dan penyelamat (SAR) kanak-kanak 18 bulan yang dilaporkan hilang di Kampung Batu 66, di sini, semalam.

Operasi SAR Jude Angel yang memasuki hari kedua dimulakan pada jam 7 pagi tadi dengan bantuan daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, operasi dipecahkan kepada dua pasukan.

“Dua anjing pengesan dari unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan unit K9 PDRM, APM beaufort dan penduduk kampung.

“SAR dijalankan dengan menyusuri tepi sungai dan kawasan pokok pisang serta belukar kelapa sawit dengan radius tiga kilometer dari pos kawalan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Hasbullah bagaimanapun berkata, mangsa belum ditemui setakat ini.

“Kanak-kanak yang berbaju putih dengan lambang kartun serta berseluar biru tua sehingga kini belum ditemui.

“Sebarang maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa,” katanya.

Sebelum itu, Jude Angel yang dijaga neneknya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah dan dipercayai sesat dihutan serta jatuh di sungai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|