Dalang edar daun ketum segar dicekup

Dalang edar daun ketum segar dicekup

Ranau: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai aktif mengedar air ketum dalam kejadian di kawasan lapang dekat Perhentian Teksi, pekan ini, semalam.

Dalam serbuan jam 9.30 malam itu, suspek berusia 22 tahun ditahan sepasukan polis dari Unit Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bersama daun ketum segar seberat 15.2 kilogram.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, kegiatan lelaki terbabit dikesan melalui pengiriman daun ketum yang menggunakan kaedah perkhidmatan pos laju.

Katanya, hasil penahanan suspek di kawasan lapang Perhentian Teksi di pekan ini, polis menemukan empat kotak barangan kiriman yang berisi daun ketum segar dengan anggaran berat 15.2 kilogram.

“Suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran daun ketum di daerah ini.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Ranau untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, pengambilan cecair ketum adalah suatu kesalahan mengikut Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Saya juga menegaskan dan mengingatkan setiap individu yang sering membuat tempahan daun ketum segar menggunakan perkhidmatan pos untuk segera berhenti dari menjalankan aktiviti tidak bermoral ini.

“Pengusaha penghantar barangan atau “runner” juga dinasihatkan agar lebih berwaspada sewaktu menerima tempahan daripada pelanggan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa ketika membawa barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Katanya lagi, polis akan terus mempergiatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa demi kesejahteraan daerah Ranau ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|