96 mangsa banjir dipindahkan di dua PPS di Penampang

96 mangsa banjir dipindahkan di dua PPS di Penampang

Kota Kinabalu: Seramai 96 mangsa banjir kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Penampang dan Putatan, setakat jam 2 petang tadi.

Manakala sebuah lagi PPS pula dibuka di Kudat bagi menempatkan mangsa kebakaran.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkata, hujan lebat yang melanda daerah Kota Kinabalu dan Penampang sejak petang semalam, mengakibatkan beberapa kampung dinaiki air.

Katanya, dua PPS dibuka iaitu di Dewan Kebudayaan Penampang dan Dewan PPR Sri Keramat, Putatan bagi menempatkan keseluruhan 19 keluarga mangsa banjir.

“Sembilan keluarga membabitkan 33 mangsa kini ditempatkan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang, di sini.

“Manakala 10 lagi keluarga melibatkan 63 mangsa ditempatkan di Dewan PPR Sri Keramat, di sini, bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebuah lagi PPS turut dibuka di daerah Kudat iaitu di Rumah Rehat Kudat bagi menempatkan mangsa kebakaran yang dilaporkan berlaku awal pagi tadi.

“Setakat ini, jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai 252 individu membabitkan sebanyak 44 keluarga,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|