724 mangsa banjir di lima daerah

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa meningkat kepada 724 orang membabitkan lima daerah yang terjejas akibat banjir setakat jam 4 petang, hari ini.

Mengikut laporan kemas kini yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada sembilan dengan penambahan di daerah Kunak, Sipitang dan Tenom.

Laporan yang dikeluarkan juga menunjukkan, semua mangsa terdiri daripada 201 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana banjir.

Daerah Tenom merekodkan paling ramai mangsa iaitu seramai 298 individu membabitkan 80 KIR yang ditempatkan di PPS Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Rumah Kebudayaan Makakagas dan Rumah Gunting.

Manakala, seramai 296 mangsa daripada 87 KIR pula direkodkan di daerah Keningau yang ditempatkan di Dewan Gereja Kampung Senangang dan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2.

Bagi daerah Kunak pula, seramai 66 mangsa melibatkan 13 keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Kampung Airport Batu 10.

Ia diikuti juga dengan daerah Sipitang yang merekodkan seramai 55 mangsa membabitkan 20 KIR yang kini ditempatkan di PPS Dewan Mini Mesapol dan PPS SJKC Chung Hwa Mesapol.

Sementara daerah Penampang pula hanya mencatatkan jumlah mangsa seramai sembilan orang membabitkan satu KIR yang ditempatkan di PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang.

Semua keseluruhan mangsa adalah membabitkan seramai 206 lelaki, 214 wanita dan 304 kanak-kanak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|