210 geran tanah diagih, 12 kampung diwarta di Kiulu

210 geran tanah diagih, 12 kampung diwarta di Kiulu

Kiulu: Seramai 210 penduduk di daerah kecil Kiulu, di sini, menerima geran di bawah Program Perkhidmatan Tanah Adat Anak Negeri Sabah (PANTAS) membabitkan luas keseluruhan 327 ekar.

Penyerahan geran tanah kepada penduduk terbabit disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sempena majlis pecah tanah Pejabat Daerah Kecil Kiulu, di sini, hari ini.

Hajiji menyempurnakan pecah tanah Pejabat Sekretariat Daerah Kecil Kiulu.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyerahkan pewartaan tanah rizab kampung kepada 12 kampung membabitkan keluasan 205.6 ekar yang diluluskan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN).

Katanya, kampung terbabit ialah Nadau, Bayag, Tiku, Logub, Lingga Baru, Parad, Gonipis Lama, Lingga, Poturidong, Mongkonihab, Tiong Tomburung and Sukang Baru.

“Kerajaan negeri peka terhadap keperluan rakyat dan komited untuk memberikan pemilikan tanah kepada seramai mungkin rakyat di Sabah kerana ini membabitkan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

“Program PANTAS dilaksanakan sejak 2011 dan diteruskan oleh kerajaan negeri GRS-BN,” katanya.

Selain melakukan pecah tanah Pejabat Daerah Kecil Kiulu, Hajiji turut mendengar taklimat pembangunan daerah kecil oleh Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Justin Ginduk.

“Tahniah kepada rakyat Kiulu kerana Pejabat Daerah Kecil ini adalah sesuatu yang mereka tungu-tunggu selama ini,” katanya.

Ketika ini, Pejabat Daerah Kecil Kiulu menggunakan kemudahan di Dewan Masyarakat sebagai sekretariatnya.

Mengenai keperluan pejabat sekretariat itu, Hajiji meluluskan peruntukan RM5 juta untuk pembinaan bangunan sekretariat daerah kecil Kiulu di tapak seluas 2.5 ekar berhadapan dengan Dewan Masyarakat Kiulu.

Katanya, dengan adanya Pejabat Daerah Kecil di Kiulu, penduduk di sini tidak lagi perlu ke Pejabat Daerah Tuaran atau Pejabat Daerah Kecil Tamparuli untuk pelbagai urusan rasmi kerajaan.

Katanya, Pejabat Daerah Kecil Kiulu juga kini boleh memproses dokumentasi berkaitan projek pembangunan seperti Bill of Quantities (BQ) dan skop kerja lain.

Malah, Hajiji berkata Pejabat Daerah Kecil Kiulu boleh menghantar terus permohonan untuk peruntukan projek kepada badan berkaitan.

“Ini adalah aspirasi kerajaan untuk membawa perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat termasuk di Kiulu,” katanya.

Beliau berkata pembinaan Pejabat Daerah Kecil itu juga adalah bukti bahawa kerajaan negeri sensitif terhadap keperluan rakyat.

Katanya, Kiulu memang dikenali dengan produk eko pelancongan dengan 70 operator swasta dan komuniti berdaftar dengan Persatuan Pelancongan Kiulu.

“Kiulu juga adalah pengeluar padi bukit, nanas, getah, koko, lada hitam dan ikan yang dituai melalui sistem Tagal.

“Kekuatan Kiulu ini selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor pelancongan dan pertanian untuk memacu pertumbuhan ekonomi kita.

Hajiji turut meluluskan permintaan penduduk Kiulu untuk pembinaan jambatan Nulu-Mantob, selain menaik taraf beberapa jalan.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Safar Untong; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Norlijah Danin dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Bernard Liew.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|