PRU15: Kalau bukan pentadbiran PH, Pan Borneo Sabah sudah siap tahun ini – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjadi punca Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sepatutnya siap pada tahun ini, gagal disiapkan mengikut jadual.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ketika PH memerintah sebelum ini, peruntukan untuk projek itu ‘dirampas’ tetapi diumumkan di Parlimen kononnya ia berjaya menjimatkan duit kerajaan.

Katanya, satu lagi projek jalan raya menghubungkan sempadan Indonesia, iaitu Jalan Serudong – Kalabakan turut dihentikan menyebabkan projek infrastruktur yang sangat penting kepada rakyat Sabah itu tergendala.

“Saya tidak tahu apa dia (PH) jaga di Sabah (sebelum ini). Apa yang saya tahu dia (PH) rampas peruntukan Pan Borneo dan Jalan Serudong dan mengumumkan di Parlimen kononnya dia berjaya menjimatkan duit.

“Kalau saya sebetulnya, tiada satu apapun yang baik PH buat untuk Sabah, bahkan ia biarkan rakyat Sabah menderita. Kalau bukan pentadbiran PH, Lebuhraya Pan Borneo Sabah sudah siap tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata demikian sebagai mengulas sama ada Sabah dan Sarawak sedia bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Ketua UMNO Sabah itu menegaskan, kerajaan Sabah yang dipimpin BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini langsung tidak mahu bekerjasama dengan PH.

“Saya tidak tahu kerjasama yang macam mana yang dimaksudkan itu tetapi di Sabah, GRS dan BN bergabung pada PRU15, jadi takkan BN mahu bergabung pula dengan PH.

“Fokus kita ialah untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa BN boleh menawarkan pakej yang terbaik kepada Sabah berbanding PH.

“Rakyat sudah tahu parti yang pernah memerintah sebelum ini, BN, PH dan Perikatan Nasional (PN), jadi kita serahkan kepada rakyat dan selepas PRU15 nanti kita akan tahu siapa pilihan rakyat,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

1,529 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!