Lima kampung ditenggelami air banjir

Tawau: Lima perkampungan sekitar ditenggelami air selepas hujan lebat melanda daerah ini sejak tengah malam, semalam.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Kopi Blues, Kampung Batu 2, Kampung Haji Sundu dan Kampung Rawa Rawa Batu 4 Apas serta Kampung Sungai Gading Wakuba.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Maszlan Sarman berkata, operasi menyelamat bermula selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.16 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai terus dikerah ke Kampung Rawa Rawa bersama jentera dan sebuah bot untuk melaksanakan operasi penyelamatan.

“Walaubagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, pemanggil panggilan kecemasan menyatakan berasa selamat dan tidak mahu dipindahkan.

“Pasukan operasi kemudiannya turut membuat rondaan di lokasi dikenal pasti dinaiki air setiap kali hujan lebat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya memutuskan untuk tidak membuat sebarang pemindahan memandangkan keadaan terkawal dan air juga mulai surut.

“Kita juga membuat rondaan di tempat yang dikenal pasti terjejas iaitu di Kampung Rawa Rawa, kampung Kopi Blues, kampung Batu Dua, kampung Haji Sundu dan kampung Sungai Gading Wakuba.

“Pasukan operasi mendapati air mula surut dan tidak ada pemindahan dilakukan setakat jam 9 pagi tadi,” katanya.

Terdahulu, beberapa lokasi dikhuatiri banjir selepas hujan lebat dan ribut petir melanda daerah ini kira-kira jam 11 malam, semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|