Pemberian Khas PIBG galak pelaksanaan program berkaitan sains – Yakub

Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri mengumumkan Pemberian Khas Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Fasa 2 membabitkan peruntukan sebanyak RM28,000 kepada sekolah-sekolah di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menterinya, Datuk Yakub Khan berkata, ia melibatkan 14 buah sekolah di DUN Karambunai, Inanam dan Darau bertujuan untuk pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan sains.

“Saya dengan sukacita mengumumkan Pemberian Khas PIBG Fasa 2 sebanyak RM2,000.00 kepada 14 buah sekolah DUN Karambunai, Inanam dan Darau untuk melaksanakan program dan aktiviti berkaitan sains.

“Pemberian Khas PIBG Fasa 1 yang melibatkan 27 buah sekolah telah disampaikan semasa Majlis Pelancaran KSS yang lepas.

“Saya berharap agar sumbangan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya,” katanya pada Majlis Penutupan Karnival Sains Sabah Tahun 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Zainudin Aman.

Yakub berkata, selain daripada penganjuran program, KSTI turut mengadakan usaha dalam mewujudkan suasana pembelajaran sains yang kondusif dengan menaiktaraf makmal sains.

Tambahnya, kerja-kerja penubuhan sudut sains di 32 buah sekolah di seluruh Sabah pada tahun 2022 telah melibatkan peruntukan sebanyak RM660 ribu.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran KSS merupakan salah satu usaha dalam pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersepadu.

“Ia menjadi platform untuk menyemai pembudayaan dan pengaplikasian Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di peringkat akar umbi.

“Penganjuran program ini turut membuktikan KSTI sentiasa komited dan konsisten dalam mendukung agenda nasional bagi memperkasakan komponen STEM melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Pelan Tindakan STEM Nasional 2017-2025 selain daripada termaktub di dalam Pelan Strategik KSTI,” katanya.

Tegasnya, generasi muda merupakan pelapis utama yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan berteraskan STI dan berkemahiran tinggi mencukupi untuk memacu pembangunan negara.

KSS 2022 telah berlangsung selama tiga bulan, bermula 27 Julai hingga 27 Oktober lalu, hasil sinergi dan jaringan strategik antara semua rakan kolaborasi yang membolehkan pelbagai aktiviti teroka dan eksplorasi STEM diadakan dengan lebih berkesan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|