Warga emas miliki daun ketum ditahan

Warga emas miliki daun ketum ditahan

Beaufort: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas didapati membawa 24.8 kilogram daun ketum dalam pemeriksaan jalan di Kilometer 8, Jalan Beaufort – Membakut, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 66 tahun yang memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek ditahan dalam operasi ‘Op Cegah Kemalangan’ yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, pasukan polis menemui dua guni besar di bahagian tempat duduk belakang kereta suspek.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, dua guni berkenaan mengandungi daun disyaki ketum iaitu salah satu bahan terlarang.

“Pemeriksaan fizikal yang dijalankan terhadap suspek tidak menemui sebarang kesalahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa balik ke IPD Beaufort bersama barang rampasan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif dan suspek diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|