Tiga PATI ditahan positif Covid-19

Tiga PATI ditahan positif Covid-19

Tawau: Tiga daripada lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau, di perairan Tanjung Batu, di sini, semalam, didapati positif Covid-19.

Dalam operasi jam 11.45 malam itu, kelima-lima PATI terbabit ditahan ketika menyusup masuk menggunakan sebuah bot penumpang tempatan.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat risikan berhubung bot penumpang tempatan yang menjalankan aktiviti membawa masuk PATI secara haram melalui perairan Tawau.

Katanya, hasil pemantauan menerusi Op Cegah PATI Selatan COVID-19 oleh bot ronda Maritim Malaysia itu berjaya mengesan bot penumpang dalam situasi mencurigakan.

“Bot ronda Maritim terus cuba melakukan pintasan, namun juragan bot bertindak agresif dengan memecut laju sehingga hilang kawalan dan terbalik.

“Juragan serta lima penumpang bot itu kemudiannya diselamatkan dan diberkas anggota Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Siva Kumar berkata, siasatan awal mendapati juragan bot adalah lelaki warga tempatan berusia 17 tahun manakala lima penumpang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berusia lingkungan 15 hingga 58 tahun.

Katanya, semua penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan turut memberi alasan insiden bot terbalik menyebabkan dokumen mereka terjatuh ke laut.

“Juragan dan semua penumpang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan laut yang tidak diwartakan.

“Hasil ujian saringan pengesanan awal (RTK) turut mendapati tiga daripada PATI terbabit positif COVID-19 dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Siva Kumar berkata, Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dengan cubaan membawa masuk warga asing ke negara ini.

Katanya, kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan dalam memastikan undang-undang negara dipatuhi sepenuhnya.

“Sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau boleh disalurkan ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|