Labuan: Teknologi digital bukan saja memudahkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), malah turut bermanfaat untuk menjalin kerjasama melangkaui sekolah ketika pandemik Covid-19.
Itu antara kelebihan norma baharu pendidikan yang dimanfaatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Temiang, Labuan dan SK Desa Tasik, Kuala Lumpur menerusi Program Merentas Maya di antara kedua-dua sekolah, baru-baru ini.
Program di bawah Pemulihan Khas kedua-dua sekolah itu menggunakan pelantar Google Meet untuk memberi peluang kepada murid kedua-dua sekolah berinteraksi dan berkenalan secara maya.
Guru Besar SK Lubok Temiang, Adam Abd Rahim, berkata penganjuran program itu juga sama seperti lawatan sambil belajar yang membolehkan murid dan guru kedua-dua sekolah dapat saling ‘berkunjung’ walaupun hanya secara maya.
“Antara objektif program ini ialah untuk memberi ruang kepada murid belajar dan berinteraksi dengan rakan-rakan dari sekolah yang berlainan selain menjalin hubungan yang baik di antara kedua-dua sekolah.
“Pada masa sama, ia juga dapat meningkatkan kemahiran belajar murid melalui pendedahan kepada Kaedah Belajar Membaca Ekspresi. Ia juga sudah tentu memberi pengalaman baharu kepada murid melalui aktiviti lawatan secara maya.
“Di pihak sekolah pula, program ini sudah pasti dapat membentuk kolaboratif di antara kedua-dua sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.
Turut menyertai program itu ialah Guru Besar SK Desa Tasik, Kuala Lumpur, Mazlan Bahari; Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu, Nur Huda Md Ralip; Guru Pemulihan Khas SK Lubok Temiang, Norhasiken Mohd Dahli dan Guru Pemulihan Khas SK Desa Tasik, Noor Hana Ismail.
Seramai 12 murid dan 22 guru SK Lubok Temiang serta 10 murid dan 10 guru SK Desa Tasik mengikuti program secara maya yang julung kali diadakan itu.
Sementara itu, Adam berkata struktur pembelajaran dalam bidang pendidikan masa kini sudah banyak berubah disebabkan pandemik Covid-19 yang membawa cabaran baharu perlu dihadapi warga pendidik.
Justeru itu katanya, seluruh warga pendidik wajar mengaplikasikan corak pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan dan menarik secara maya, khususnya dalam tempoh mencabar seperti sekarang.
“Program Merentas Maya ini adalah satu contoh usaha bersungguh-sungguh guru-guru demi memastikan murid pemulihan khas memperolehi ilmu pembelajaran berdimensi baharu yang dapat menjadi titik permulaan ke arah kejayaan serta memberi pengalaman bermakna dan menarik di antara murid dari dua wilayah yang berbeza ini.
“Sehubungan itu, saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat diadakan pada masa akan datang untuk manfaat murid dan guru SK Lubok Temiang dan SK Desa Tasik,” katanya.
-Deasoka