Warga asing diitahan miliki syabu

Warga asing diitahan miliki syabu

Tawau: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam operasi pasukan Ronda Jarak Jauh (RJJ), di Ladang Belian, Benta Wawasan, Kalabakan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, operasi dijalankan sepasukan empat anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan dibantu dua penguatkuasa Benta Wawasan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, ketika rondaan dilakukan, pasukan Esscom terserempak dengan suspek berusia 51 tahun dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah kongsi.

Dadah syabu yang dirampas.

Katanya, sebaik memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen diri yang sah.

“Pemeriksaan berjaya menemui sekeping sampul surat berisi dua paket plastik dan straw mengandungi hablur jernih diayaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah kotak rokok turut menemui satu paket lagi paket plastik berisi dadah dipercayai syabu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Lokasi tangkapan di Ladang Belian, Benta Wawasan, Kalabakan.

Ahmad Fuad berkata, suspek dan barang rampasan kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, anggaran berat dadah yang dirampas dianggarkan 4.34 gram bernilai RM200 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|