Kota Kinabalu: Bertugas tanpa mengira masa termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidiladha bukan menjadi masalah kepada ahli Persatuan Amal dan Jariah Sabah untuk menghulur bantuan terutamanya kepada golongan kurang berkemampuan.
Persatuan yang lebih dikenali sebagai ‘Team Amal’ itu menyediakan kemudahan van jenazah dan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma termasuk kes kematian membabitkan Covid-19 sama ada orang Islam ataupun bukan Islam.
Atas tanggungjawab sosial itu, Team Amal tampil membantu keluarga bukan Islam yang kurang berkemampuan dari Kota Belud untuk menguruskan jenazah Covid-19 ketika sambutan Aidiladha atau Hari Raya Korban.
Malah, Team Amal turut bermurah hati membelikan keranda untuk jenazah terbabit atas dasar simpati dan tanggungjawab membantu keluarga yang tidak berkemampuan.
Pengasas Team Amal, Masrul Guding berkata, wanita berusia 75 tahun dari Kampung Kebayau Lama, Kota Belud, itu meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Katanya, Team Amal diminta membantu mengurus jenazah terbabit kerana ahli keluarganya tidak mampu mendapatkan khidmat pengurusan jenazah berbayar memandangkan kosnya yang tinggi.
“Kelmarin, ketika sambutan Aidiladha, Team Amal tampil membantu menguruskan satu jenazah Covid-19 bukan Islam. Team Amal turut menyumbangkan keranda dan khidmat van jenazah secara percuma.
“Ini satu bukti bahawa Team Amal sentiasa bersedia membantu masyarakat tanpa mengira agama. Malah, Team Amal juga membantu mengebumikan jenazah Covid-19 itu bersama anggota dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ahli keluarga simati,” katanya, di sini, hari ini
Masrul berkata, sejak ditubuhkan pada 2 Oktober tahun lalu, Team Amal membantu mengurus atau menghantar lebih 100 jenazah secara percuma ke destinasi di seluruh negeri.
Katanya, pasukan ini kini mempunyai empat van jenazah yang beroperasi 24 jam sehari bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang meninggal dunia di HQE atau sekitar Kota Kinabalu.
– Deasoka