Cubaan 10 PATI pulang ke negara asal gagal

Cubaan 10 PATI pulang ke negara asal gagal

Tawau: Cubaan sepuluh pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup keluar untuk pulang ke negara asal gagal selepas berjaya dikesan pasukan ‘Quick Reaction Force’ (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), hari ini.

Dalam operasi Op Benteng Bersama jam 12.10 tengah malam itu, kumpulan berkenaan ditahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Titingan, Batu 2, di sini.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, hasil pemeriksaan, semua 10 orang warga Indonesia terbabit tidak memiliki dokumen dipercayai sedang menyorok di sekolah berkenaan.

Sepuluh PATI termasuk bayi berusia enam bulan yang cuba menyusup keluar pulang ke negara asal mereka ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, mereka terdiri daripada dua lelaki, enam wanita dan dua kanak-kanak berusia lingkungan sembilan hingga 54 tahun serta bayi berusia enam bulan.

“Siasatan awal mendapati, kumpulan itu mengaku bergerak dari Taman Tawau Lama menuju ke Pulau Sebatik menggunakan laluan berhampiran sekolah berkenaan.

“Mereka menyatakan akan menaiki bot yang sudah diaturkan oleh ejen untuk pulang ke Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan QRF ATB 2 menahan 10 pati yang cuba menyusup keluar kembali ke negara asal mereka di SK Titingan, Batu 2, Tawau

Abdul Karim berkata, semua PATI itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua PATI kemudiannya diserahkan kepada IPD Tawau bagi proses saringan Covid-19 dan penahanan.

Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, operasi berkenaan akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat dalam usaha menyekat jenayah serta melandaikan penularan wabak Covid-19.

Katanya, ATB akan terus mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan ancaman lain di kawasan pantai timur Sabah.

“Bagaimanapun, anggota dinasihati supaya sentiasa meningkatkan tahap waspada sepanjang masa dalam menjalankan tugasan masing-masing,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|