Sabah terima 747,980 dos vaksin setakat Julai: Masidi

Sabah terima 747,980 dos vaksin setakat Julai: Masidi

Kota Kinabalu: Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mendedahkan negeri ini telah menerima sekurang-kurangnya 747, 980 dos vaksin setakat bulan Julai ini.

Beliau berkata, setakat petang, bekalan baharu melibatkan 152,100 dos vaksin akan tiba di Sabah dengan jangkaan sejumlah besar lagi dos akan tiba pada 28 Julai hadapan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa agihan dan penghantaran vaksin kepada Sabah (oleh MOSTI) bertambah baik.

“Petang ini sahaja kita menerima bekalan baharu 152,100 dos, menjadikan jumlah keseluruhan vaksin yg diterima setakat ini sebanyak 747,980 dos bagi bulan Julai.

“Mengikut jadual penghantaran, satu lagi bekalan dalam kuantiti yang besar, yakni 308,880 dos akan sampai pada 28 Julai, tidak termasuk 30,000 dos yang akan sampai lebih awal pada hari Jumaat ini,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, jumlah keseluruhan vaksin dibekalkan kepada Sabah bagi bulan Julai ialah 1.08 juta dos.

“Kita mengharapkan tidak ada lagi gangguan ke atas penghantaran bekalan vaksin bagi bulan Ogos dan seterusnya.

“Ini akan membolehkan kita meningkatkan kadar vaksinasi bagi penduduk-penduduk Sabah secara keseluruhannya,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|