Isu penghantaran bekalan punca vaksinasi sedikit lewat: Hajiji

Isu penghantaran bekalan punca vaksinasi sedikit lewat: Hajiji

Kota Kinabalu: Permasalahan penghantaran vaksin yang sedikit lewat ke negeri ini dikenalpasti mendorong faktor kelewatan proses vaksinasi di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya bagaimanapun telah meminta Kerajaan Persekutuan untuk memberikan bekalan secukupnya dalam usaha mencapai 50 hingga ke 60 peratus rakyat menerima vaksin pada bulan Oktober depan.

Beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mula menjadualkan semula penghantaran vaksin berkenaan.

“Ada sedikit kelambatan, delay tetapi pihak Kementerian Kesihatan sudah mula menjadualkan balik penghantaran vaksin ini.

“Ini bukanlah apa tetapi daripada pembekal yang lambat sampai ke negara kita tetapi kita harap Kerajaan Persekutuan, Kementerian Kesihatan dapat memberi bekalan yang diperlukan oleh sabah dalam masa terdekat.

“Ini kerana kita mahu mencapai sekurang kurangnya sampai bulan Oktober ini, sekurang kurangnya 50 ke 60 peratus rakyat kita di Sabah akan menerima vaksin yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan rapat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kuliah Pusat Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Naib Canselor UMS, Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob berhubung permohonan negeri-negeri untuk mendapatkan lebih bekalan vaksin, Hajiji berkata, pihaknya turut mempunyai cadangan sedemikian.

“Kita mempunyai cadangan sedemikian tetapi kita juga berharap pihak Kerajaan Persekutuan dapat membekalkan vaksin ke negeri Sabah dengan banyak.

“Sekarang ini antara negeri yang terendah ialah Sabah jadi bekalan vaksin kita tidak menerima banyak daripada kerajaan tetapi kita difahamkan mereka akan mula menghantar vaksin ini ke negeri Sabah dengan lebih banyak lagi mulai minggu ini dan seterusnya.

“Jadi dengan bekalan vaksin yang banyak ini kita akan dapat meningkatkan pemberian vaksin ini kepada orang ramai ataupun penduduk penduduk kita di negeri Sabah,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ketua Menteri berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada UMS kerana turut bersama dalam membantu kerajaan meningkatkan kadar pusat pemberian vaksin di Kota Kinabalu.

Jelas Hajiji, kapasiti UMS membolehkan proses sekurang-kurangnya 1,000 individu dalam tempoh sehari dan difahamkan jumlah itu bakal meningkat mulai minggu hadapan.

Foto kredit (Unit media JKM Sabah)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|