Harapan perbankan di Sook tertunai

Harapan perbankan di Sook tertunai

Keningau: Harapan penduduk di Daerah Kecil Sook dan kawasan sekitarnya mendapatkan perkhidmatan perbankan akhirnya tertunai apabila kiosk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional (BSN) beroperasi sepenuhnya, semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ini adalah hari yang bersejarah bagi penduduk di Daerah Kecil Sook.

Katanya, berdasarkan populasi penduduk dan pembangunan yang semakin pesat di Daerah Kecil Sook mendorong kepada wujudnya keperluan perkhidmatan perbankan di kawasan berkenaan.

Datuk Arthur Joseph Kurup menunjukkan kiosk ATM BSN di Sook, Keningau.

“Sebelum ini penduduk terpaksa pergi ke Keningau untuk melakukan urusan perbankan. Namun kini, penduduk di Daerah Kecil Sook, dan Nabawan tidak perlu lagi pergi jauh. Ini sesuatu yang sudah dinanti-nantikan selama ini.

“Ini juga akan dapat mengurangkan kesesakan di BSN Keningau dan memudahkan pengeluaran wang oleh penduduk. Dengan adanya mesin ATM ini, ianya akan dapat menjana ekonomi setempat dengan peningkatan aliran tunai,” katanya.

Arthur berkata, ia juga memberi kelebihan kepada penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sabah Prihatin kerana mereka tidak perlu jauh untuk mendapatkan akses perbankan bagi mengeluarkan wang bantuan.

Katanya, Bank Rakyat juga turut bersetuju untuk meletakkan mesin ATM di Petron pekan Sook dan kini kerja-kerja pembinaan kiosk ATM Bank Rakyat sedang giat dilaksanakan dan dijangka dapat beroperasi tahun ini.

“Sebagai perancangan untuk jangka masa panjang, sekiranya transaksi kewangan di Pekan Kecil Sook semakin meningkat dan menunjukkan terdapat keperluan mewujudkan cawangan bank, maka kerajaan akan berusaha untuk melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Paul F Isidore berkata, dengan adanya mesin ATM ini keperluan asas perbankan dapat dilakukan oleh penduduk tanpa perlu ke Keningau.

“Penduduk dinasihatkan untuk sama-sama menjaga kemudahan yang disediakan ini dan sentiasa mematuhi SOP dengan mengamalkan penjarakan fizikal apabila melakukan transaksi,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|