Sorok syabu dalam kotak rokok elak dicekup

Sorok syabu dalam kotak rokok elak dicekup

Beaufort: Taktik seorang lelaki menyembunyikan dadah jenis syabu di dalam kotak rokok gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kabajang, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 pagi itu, lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan bersama sembilan paket syabu yang dianggarkan sebanyak 14.73 gram.

Suspek berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kabajang, Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Beaufort telah menyerbu rumah berkenaan.

Katanya, ketika serbuan suspek yang melarikan diri ke kawasan belakang rumah berkenaan berjaya ditangkap.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob

“Anggota polis kemudian membuat pemeriksaan terhadap suspek dan beg sandang yang dipakainya.

“Hasil pemeriksaan menemui satu kotak rokok dan didalamnya terdapat sembilan paket plastik lut sinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 14.74,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Yusoff berkata, suspek dan barang dirampas serta dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan semakan rekod lampau terdapat tiga kes membabitkan kesalahan dadah.

“Suspek kemudian mengaku dengan aktiviti pengedaran dadah sejak awal bulan ini dan mendapatkan bekalan syabu daripada seorang pengedar tempatan,” katanya

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|