GRS teruskan usaha bawa kemajuan, pembangunan – Hajiji

GRS teruskan usaha bawa kemajuan, pembangunan – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di landasan yang betul untuk membawa kemajuan kepada rakyat di negeri ini walaupun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pandemik itu membawa banyak cabaran namun kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk menanganinya termasuk krisis ekonomi dan kesihatan yang berlanjutan hampir dua tahun.

“Kerajaan negeri tidak pernah goyah dalam usaha melaksanakan pelan pembangunan walaupun ketika krisis dan kita akan meneruskannya dengan bersungguh-sungguh pada 2022.

“Ini bagi memastikan agenda pembangunan seperti yang kita gariskan dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta Belanjawan 2022 negeri berjalan dengan lancar,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Krismas 2021 dan Tahun Baharu 2022, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pelan pembangunan lima tahun SMJ di bawah kerajaan GRS yang dilancarkan pada Mac lalu menyaksikan pemeteraian tiga pelaburan berskala besar bernilai RM10 bilion iaitu Lok Kawi Resort City, pembinaan kilang pengeluaran kerajang tembaga dan projek penanaman kelapa berhasil tinggi.

“Semua ini amat penting dan akan membawa impak yang besar kepada rakyat Sabah serta ekonomi negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri tidak pernah berhenti mencari lebih banyak lagi pelaburan berimpak tinggi dan beberapa lagi perbincangan masih dijalankan antara pelabur bersama kerajaan negeri untuk membawa pelaburan ke Sabah.

“Sabah juga berada di landasan yang betul untuk menjadi pangkalan data pelabur kepada ASEAN seiring kerangka pembangunan kerajaan GRS menerusi platform Hala Tuju SMJ.

“Apabila cadangan pelaburan ini dimuktamadkan, ia akan membantu merangsang semula pertumbuhan ekonomi negeri kita untuk membawa manfaat kepada rakyat dan negeri,” katanya.

Sementara itu, menyentuh berhubung kelulusan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 di Parlimen baru-baru ini, Hajiji berkata ia adalah satu peristiwa penting yang akan membuka jalan kepada pemulihan sepenuhnya hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Beberapa tuntutan lain dari Sabah telah berjaya diselesaikan melalui Majlis Khas mengenai MA63.

“Penurunan kuasa kepada Sabah untuk pengeluaran lesen penangkapan ikan laut dalam adalah salah satu bukti bahawa hak dan keistimewaan Sabah, seperti yang diperuntukkan di bawah MA63 telah diiktiraf,” katanya.

Sebagai penutup tirai bagi tahun yang produktif ini, Hajiji berkata kejayaan lain yang berjaya dikecapi adalah menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) di antara kerajaan negeri dan PETRONAS yang menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas di Sabah.

“Hasilnya juga adalah penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd, iaitu syarikat minyak gas milik penuh Sabah. Selain itu, kerajaan negeri juga dalam proses memuktamadkan Pelan Induk Gas Sabah dengan PETRONAS yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, Hajiji berharap sambutan Krismas tahun ini akan mengukuhkan lagi perpaduan, toleransi beragama dan saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.

“Marilah kita ketepikan perbezaan dan fokus kepada nilai yang menyatukan kita, bukan memecahbelahkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|