Kota Kinabalu: Sabah menjadi satu-satunya pengeksport bersih komoditi ikan di Malaysia dengan menyumbang RM2.01 bilion atau 15.7 peratus setahun kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata ia sejajar kedudukan sektor perikanan negeri ketika ini yang mencapai lebih 100 peratus tahap sara diri penduduknya.
Katanya, ia menyebabkan berlaku lebihan penggunaan yang boleh dieksport dengan sebanyak 25,477 tan metrik lebihan hasil perikanan direkodkan pada tahun ini setakat Oktober lalu.
Namun begitu, katanya pelbagai strategi jangka panjang dilaksanakan Jabatan Perikanan negeri bagi memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi, termasuk mengurus sumber marin secara mapan melalui pembahagian zon penangkapan ikan mengikut saiz vesel.
“Pada masa sama, kita juga mengawal kuantiti dan kualitihasil ikan untuk bekalan domestik dan eksport melalui pengeluaran permit impoort dan eksport. Sehingga November 2021, sebanyak 75 syarikat pengeksport dan pengimort berdaftar dengan Jabatan Perikanan Sabah.
“Kita juga menggalakkan penangkapan laut dalam melalui pemberian insentif antaranya Insentif Cukai Galakan Bagi Projek Pengeluaran Bahan Makanan 2.0. Sehingga kini, sebanyak 35 lesen kapal laut dalam dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr yusof Yacob (BEBAS – Sindumin) mengenai langkah kerajaan memastikan bekalan makanan di Sabah sentiasa mencukupi pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata Jabatan Perikanan Sabah turut menempa6kan lebih banyak tukun tiruan untuk melindungi habitat ikan, pembiakan dan meningkatkan populasi ikan dengan sebanyak 139 tukun dilabuhkan di sembilan lokasi seluruh negeri pada tahun ini.
“Program memulihara ekosistem marin melalui aktiviti penanaman batu karang turut dilaksanakan dengan ketika ini ada tiga syarikat aktif melaksanakan aktiviti propagasi batu karang.
“Kita juga menggalakkan dan melesenkan aktiviti akuakultur marin dan air tawar di seluruh Sabah dengan sasaran pengeluaran lesen sebanyak 100 lesen setahun,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Perikanann juga melaksanakan program stock enhancement yang melibatkan pelepasan benih di sungai dan perairan umum dengan sebanyak 100,000 benih ikan air tawar akan dilepaskan di 25 lokasi di Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Pada masa sama, katanya langkah memperkasa sistem TAGAL untuk konservasi dan pengurusan secara mapan turut dilaksanakan dengan sebanyak 560 Tagal di seluruh Sabah diwujudkan ketika ini, manakala 50 tagal lagi sepanjang RMK-12.
“Penguatkuasaan undang-undang perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 untuk mencegah aktiviti pencerobohan kawasan tangkapan dan penangkapan ikan menggunakan bahan letupan juga akan ditingkatkan,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey berkata kementeriannya melalui KO-NELAYAN turut melaksanakan beberapa strategi jangka panjang antaranya Program Pembangunan Akuakultur yang melibatkan penternakan ikan marin komersial seperti ikan kerapu hibrid dan ikan siakap.
-Deasoka