Sidang DUN Sabah: Kerajaan negeri amal pengurusan kewangan berhemat – Hajiji

Sidang DUN Sabah: Kerajaan negeri amal pengurusan kewangan berhemat – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan pengurusan kewangan berhemat dan berhati-hati dalam menyediakan Belanjawan Tahunan kerana ia melibatkan penggunaan wang rakyat dan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari blok pembangkang dalam ucapan penggulungan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

“Walaupun kita boleh berbangga dengan pencapaian Hasil Negeri, ini tidak bermakna kita boleh dengan sewenang-wenangnya
membelanjakan kesemua hasil yang telah kita usahakan sedaya upaya.

“Kita perlu terus mengukuhkan rizab negeri bagi memastikan kewangan negeri adalah pada tahap yang jitu, sihat dan kukuh, serta berupaya untuk berdepan dengan cabaran-cabaran kewangan dan ekonomi di masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan memaklumkan dalam menyediakan Belanjawan Tahunan, Belanjawan 2022 adalah belanjawan lebihan sebanyak RM110.68 juta.

“Kerajaan berupaya mengekalkan belanjawan lebihan dengan jumlah anggaran perbelanjaan sebanyak RM4.596 billion iaitu lebih
tinggi daripada anggaran perbelanjaan tahun 2021.

“Belanjawan ini dirangka berdasarkan kepada keperluan kementerian dan jabatan dengan mengambil kira kapasiti berbelanja dan pelaksanaan,” katanya ketika memberi penjelasan kepada Justin Wong Yung Bin (DAP-Sri Tanjong).

Hajiji bagaimanapun berkata, sekiranya berlaku sebarang keperluan mendesak yang melangkaui peruntukan yang disediakan, maka
perkara itu akan diurus melalui peruntukan tambahan pada pertengahan tahun hadapan.

“Justeru penyediaan Belanjawan 2022 adalah berdasarkan kepada pengurusan sumber kewangan yang berhemat, berhati-hati dan realistik, selaras dengan disiplin kewangan yang cekap berlandaskan kepada dasar fiskal kerajaan.

“Ini bagi memastikan perbelanjaan awam menepati objektif kementerian dan jabatan disamping mengelakkan pembaziran melalui pengawalan perbelanjaan yang efektif,” katanya.

Sebelum itu, Hajiji turut menjawab soalan yang dibangkitkan Sarifuddin Hata (Warisan-Merotai) berkaitan isu peruntukan bagi pembayaran atas perintah oleh mahkamah berjumlah RM130 juta pada tahun 2022.

Hajiji memaklumkan bahawa peruntukan yang dimaksudkan itu adalah bagi membayar kos tuntutan ganti rugi akibat penamatan awal kontrak konsesi outsource Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang ditamatkan secara tidak wajar pada Januari 2019 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Beberapa sesi perundingan telah diadakan antara pihak konsesi dengan Jabatan Peguam Besar Negeri sejak tahun 2020 sebelum ia dimuktamadkan dengan penjimatan sebanyak RM88 juta kepada kerajaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|