Sidang DUN Sabah: RM2 juta peruntukan untuk setiap kawasan DUN Sabah

Sidang DUN Sabah: RM2 juta peruntukan untuk setiap kawasan DUN Sabah

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan peruntukan bagi tahun hadapan di setiap DUN di Sabah.

“Sukacita saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini, bahawa pada tahun hadapan 2022, kerajaan negeri akan memberikan peruntukan kepada setiap kawasan DUN sebanyak RM2 juta.

“Semoga dengan peruntukan tambahan itu akan dapat membantu Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam mengurus dan menangani masalah rakyat di kawasan masing-masing,” katanya ketika mengakhiri ucapan penggulungan beliau di DUN Sabah, hari ini.

Terdahulu, Hajiji dalam ucapan penggulungannya turut menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) dan Sarifuddin Hata (Warisan-Merotai) berhubung Pinjaman Persekutuan.

Beliau memaklumkan bahawa Pinjaman Persekutuan di bawah vot D33 berjumlah RM546.96 juta adalah pinjaman kepada JANS dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Negeri Sabah.

“Bagi tahun hadapan, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Negeri Sabah telah mendapat kelulusan pinjaman sebanyak RM320.2 juta, manakala JANS diluluskan pinjaman sebanyak RM 226.76 juta.

“Kedua-dua pinjaman ini adalah merupakan projek berimpak tinggi yang tidak termasuk di dalam geran persekutuan berjumlah RM5.2 billion,” katanya.

Menurut Menteri Kewangan itu lagi, pinjaman Persekutuan ini diambil kerana kekangan kewangan sejak berpuluh tahun yang lalu.

“Pinjaman ini adalah berkonsepkan pinjaman mudah iaitu tidak mempunyai faedah pinjaman dan tempoh bayaran balik adalah sehingga 25 tahun.

“Pinjaman-pinjaman Persekutuan yang lain berkonsepkan komersial dikenakan kadar faedah sebanyak empat peratus dan tempoh bayaran balik diantara 10 hingga 23 tahun.

“Ia merupakan strategi kerajaan negeri sejak dahulu sehingga kini yang telah membuahkan hasil dalam pembangunan negeri. Dalam apa juga perancangan tujuan pinjaman ini adalah untuk membolehkan kerajaan negeri menikmati manfaat pembangunan lebih awal,” katanya.

Bagi menjawab soalan daripada Assaffal P Alian (Warisan-Tungku), Hajiji memaklumkan bahawa semua pemerhatian Jabatan Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Tahun 2021 telah pun di ambil perhatian dan tindakan bersesuaian.

“Pada tahun ini sekali lagi kerajaan negeri menerima Sijil Bersih Penyata Kewangan bagi tahun 2020 daripada Ketua Audit Negara.

“Pencapaian ini adalah bagi kali yang ke-20 tahun. Ini menunjukkan kerajaan negeri berupaya untuk mengekalkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan prestasi pengurusan kewangan yang cemerlang,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berharap beberapa penjelasan yang disebutkan telah menjawab beberapa persoalan dan kemusykilan yang diutarakan sepanjang tempoh perbahasan sejak Isnin lalu.

“Bagi soalan-soalan serta soalan tambahan yang lain, yang tidak sempat dijawab pada kali ini, akan saya jawab nanti
melalui jawapan bertulis,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|