Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menekankan komitmen kerajaan pimpinannya untuk tidak mengenepikan perjuangan hak negeri ini termasuk mengenai pemberian khas kepada Sabah.
Jelasnya, beliau sedar tuntutan hak kerajaan Sabah itu penting kerana ia amat dekat di hati anak negeri ini.
“Sekali lagi ingin saya tekankan bahawa kerajaan hari ini di bawah pimpinan saya tidak akan mengetepikan perjuangan hak negeri ini.
“Malah, satu jawatankuasa yang diketuai Menteri Kewangan II telah ditubuhkan bagi meneruskan rundingan dengan kerajaan persekutuan berkaitan Pemberian Khas Negeri Sabah sepertimana hak negeri yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Kewangan pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Sementara itu, katanya kejayaan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) di antara kerajaan negeri dan PETRONAS yang ditandatangani pada 7 Disember 2021 memerlukan kebijaksanaan, muhibah dan kesefahaman daripada kedua-dua pihak selain memastikan hak perundangan memberikan perlindungan muktamad bagi kepentingan negeri.
“Kerajaan negeri ditawarkan untuk menyertai Projek LNG melalui kepentingan saham sehingga 25 peratus pada kos dan tanpa premium dalam anak-anak Syarikat PETRONAS. Kaedah pembayaran adalah secara tertunda atau ‘deferred payments’ menggunakan dividen daripada projek tersebut.
“Pihak PETRONAS juga akan terus komited untuk membayar tunai (cash payment) royalti minyak dan Cukai Jualan Negeri sebagai sebahagian daripada mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas,” katanya
Menerusi CCA itu, Sabah akan mendapat perkongsian hasil berkaitan minyak dan gas yang lebih besar, penyertaan dan penguasaan yang lebih besar dalam hal minyak dan gas di Sabah di bawah satu rangka kerja perundingan komersial bersama dengan PETRONAS sambil memastikan negeri Sabah mengekalkan hak perundangannya.
-Deasoka