Sidang DUN Sabah: Tiada cadangan kurangkan kadar cukai jualan negeri – Hajiji

Sidang DUN Sabah: Tiada cadangan kurangkan kadar cukai jualan negeri – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri tiada cadangan untuk mengurangkan kadar mana-mana jenis cukai jualan negeri (CJN) yang sedang dikutip, lebih-lebih lagi dengan harga minyak sawit mentah (CPO) yang tinggi ketika ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia kerana kutipan hasil daripada cukai jualan negeri amat penting dan antara penyumbang utama kepada sumber kewangan kerajaan negeri.

“Oleh yang demikian, kerajaan pada ketika ini tidak bercadang untuk mengurangkan kadar ke atas mana-mana jenis cukai jualan negeri yang sedang dikutip apatah lagi dengan harga seperti minyak sawit mentah (CPO) yang agak tinggi sekarang.

“Bagaimanapun, kerajaan bersedia untuk menimbangkan cadangan yang bermanfaat daripada pihak industri yang boleh memberikan pulangan dan kesan limpahan ekonomi yang tinggi kepada negeri ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Kewangan pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata mengenai cukai jualan negeri produk petroleum, kerajaan ketika ini hanya mengenakan cukai ke atas dua jenis produk petroleum iaitu minyak mentah petroleum dan gas asli atau gas asli cecair pada kadar lima peratus bagi setiap produk berkenaan.

Namun, katanya jika didapati perlu dan sesuai, kerajaan negeri akan mengenakan cukai ke atas produk petroleum lain yang merangkumi juga produk sampingan tanpa menjejaskan pengeluaran dan perkembangan industri hiliran minyak dan gas.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sedar hasil negeri yang dinikmati ketika ini banyak bergantung kepada prestasi komoditi petroleum dan minyak sawit mentah yang nilai pasarannya di luar kawalan kerana ditentukan oleh permintaan dalam pasaran global.

“Meskipun pada masa kini harga pasaran produk petroleum dan minyak sawit mentah agak kompetitif, namun dalam memastikan kutipan hasil negeri tetap kukuh dan mapan, kerajaan negeri sentiasa berusaha mendapatkan sumber baharu untuk hasil negeri ini.

“Sebagai pemerintah yang prihatin, kerajaan akan memastikan sumber hasil baharu tidak akan membebankan mana-mana pihak, malah pendekatan menang-menang adalah asas bagi kerajaan mengambil tindakan demi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan mengurangkan tunggakan hasil melalui pelbagai pendekatan termasuk menambah baik sistem kutipan, memperkasa penguatkuasaan dan meningkatkan pulangan pelaburan kerajaan negeri.

Jelasnya, semua inisiatif dan usaha itu perlu didokong dengan komitmen tinggi, kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak.

“Oleh itu, kerajaan juga mengalu-alukan cadangan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam meningkatkan dan mempelbagaikan sumber hasil negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|