Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menamatkan kontraktor yang diberi tanggungjawab membina Muzium Tamadun dan Warisan Etnik Dusun di Ranau.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin, berkata tindakan itu berikutan kegagalan kontraktor terbabit melaksanakan pembinaan mengikut jadual yang ditetapkan walaupun sudah diberi lanjutan.
Katanya, tempoh kontrak pembinaan muzium mini itu adalah 18 bulan bermula pada 1 Mac 2018 dan dijadualkan siap pada 1 September 2019, namun kontraktor hanya mendapat kelulusan masuk tapak pada 28 April 2019, menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.
“Dalam pada itu, kerajaan telah meluluskan tempoh lanjutan masa Nombor 1 (EOT 1) mulai 1 September 2019 sehingga 30 Disember 2020. Pemantauan terhadap projek ini kerap dijalankan oleh kementerian saya dan juga agensi di bawah kementerian iaitu Jabatan Muzium Negeri Sabah.
“Sepanjang tempoh lanjutan masa yang diberikan, kerja-kerja pembinaan tidak dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan kepada pihak kontraktor. Teguran dan amaran telah diberikan.
“Namun, pelbagai alasan diberikan oleh kontraktor dan setakat 30 Disember 2020, kemajuan kerja sebenar projek ini hanyalah mencapai 20 peratus dan projek ini telah dikategorikan sebagai projek sakit,” katanya menjawab soalan Datuk Amisah Yassin (BERSATU – Dilantik) mengenai status pembinaan Muzium Mini di Ranau.
Berikutan itu, Jafry berkata, satu ketetapan diputuskan selaras dengan perjanjian kontrak klausa 5.1 (b) yang memberi kuasa kepada pihak kementerian untuk mengeluarkan notis penamatan pada 16 Jun 2021, atas sebab kegagalan melaksanakan projek mengikut tempoh yang ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya kementeriannya tetap komited untuk merealisasikan pewujudan muzium mini berkenaan dan akan diteruskan di bawah projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Pada ketika ini, kementerian saya sedang dalam proses penilaian semula pelan pembangunan termasuk penilaian kos pembinaan untuk membolehkan kementerian mendapatkan kontraktor penyelamat.
“Untuk memastikan projek pembinaan muzium ini tidak tergendala lagi, kementerian saya akan memastikan kontraktor penyelamat yang bakal dilantik untuk menyiapkan projek ini mempunyai kredibiliti, berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh,” katanya.
-Deasoka