Sidang DUN Sabah: Bekalan elektrik, air cabaran dihadapi Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum

Sidang DUN Sabah: Bekalan elektrik, air cabaran dihadapi Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum

Kota Kinabalu: Bekalan elektrik kurang stabil dan tekanan bekalan air rendah di Pulau Bum-Bum antara cabaran dihadapi Klinik Kesihatan di pulau berkenaan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beliau difahamkan walaupun selepas kerja menaik taraf blok pentadbiran dan kuarters klinik kesihatan dilakukan namun terdapat dua cabaran dalam operasi klinik berkenaan.

“Pertamanya berkenaan dengan bekalan elektrik. Bekalan elektrik daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ke Pulau Bum-Bum adalah dalam keadaan yang kurang stabil. Di Klinik tersebut mempunyai dua set generator (penjana elektrik) yang sudah usang.

“Keduanya adalah berkenaan dengan bekalan air yang begitu rendah di Pulau Bum-Bum. Bekalan air khusus untuk ke klinik itu juga dicatu.

“Saya akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan juga Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Air untuk mencari solusi bagaimana menambah keadaan yang sedang ditambah baik sekarang ini,” katanya bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Jaujan Sambakong (Warisan-Sulabayan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam soalan tambahan, Jaujan bertanya mengenai Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum yang masih tidak beroperasi.

Shahelmey dalam pada itu memaklumkan perkara itu turut diambil perhatian dan akan melawat ke klinik berkenaan pada awal tahun depan untuk melihat keadaan sebenar.

Sementara itu, Jaujan sebelum itu turut bertanya mengenai status naik taraf Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum memandangkan masyarakat di Pulau Bum-Bum amat memerlukannya

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Flovia Ng berkata, JKNS memaklumkan bahawa naik taraf klinik kesihatan itu telah pun siap pada 2019 dengan peruntukan sejumlah RM463,764.65.

“Pada tahun 2021 sejumlah RM161,453 diperuntukkan untuk naik taraf dua blok kuarters yang mengandungi 16 unit telah juga siap pada Oktober tahun 2021 dan sedang digunakan.

“Setakat ini jumlah kedatangan pesakit adalah sebanyak 11,563 orang (2018), 16,340 orang (2019) dan 15,629 orang (2020), atau 32 orang (2018), 45 orang (2019), 43 orang (2020) pesakit sehari.

“Pada masa ini juga terdapat cadangan untuk menaik taraf sebahagian bangunan Klinik Kesihatan Pulau Bum-Bum sebagai Pusat Bersalin Alternatif (ABC) bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi masyarakat Pulau Bum-Bum,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|