Sidang DUN Sabah: Penjawat awam gagal lengkap dos vaksin Covid-19 dikenakan tindakan tatatertib, tamat perkhidmatan

Sidang DUN Sabah: Penjawat awam gagal lengkap dos vaksin Covid-19 dikenakan tindakan tatatertib, tamat perkhidmatan

Kota Kinabalu: Semua pegawai kerajaan Sabah yang gagal melengkapkan dos imunisasi Covid-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, bagi mengurangkan kesan jangkitan virus Covid-19, kerajaan negeri menggalakkan penerimaan vaksin di kalangan penjawat awam.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir

“Setakat 23 November 2021, seramai 19,584 daripada 20,271 atau bersamaan dengan 97 peratus penjawat awam negeri telah menerima vaksin, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri.

“Bilangan penjawat awam negeri yang belum mengambil vaksin atas faktor isu kesihatan dan lain-lain adalah seramai 687 atau bersamaan dengan tiga peratus,” katanya ketika menjawab Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Ewon dalam soalan beliau bertanya kepada Ketua Menteri berapa jumlah atau peratusan penjawat awam negeri yang belum menerima vaksin Covid-19 setakat ini dan apa dasar kerajaan negeri terhadap penjawat awam negeri yang tidak mahu menerima suntikan vaksin terbabit.

Abidin dalam pada itu memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menetapkan agar semua penjawat awam Perkhidmatan Awam Negeri melengkapkan imunisasi Covid-19 untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan memastikan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti Perkhidmatan Awam Negeri berada pada tahap yang optimum.

“Sehubungan itu, Pekeliling Perkhidmatan Negeri Sabah Bil 11 Tahun 2021 bertajuk Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri berkuatkuasa 14 Oktober 2021 telah dikeluarkan.

“Secara ringkasnya, selepas 1 November 2021, semua pegawai Kerajaan Negeri perlu melengkapkan dos imunisasi Covid-19 dengan mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19.

“Mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ini boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008,” katanya.

Tambah beliau lagi, pegawai yang tidak layak untuk menerima suntikan imunisasi Covid-19 harus mendapatkan pengesahan daripada pegawai perubatan dan memaklumkan Ketua Jabatan.

“Bagi memastikan pelaksanaan dasar ini, Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan kaedah-kaedah yang bersesuaian untuk mengurus mana-mana pegawai yang tidak mendapat dan melengkapkan imunisasi COVID-19 bukan atas sebab kesihatan.

“Kaedah-kaedah ini termasuk mengarahkan pegawai untuk membuat ujian pengesanan Covid-19 berkala, sesi kaunseling bekerja dari rumah untuk satu tempoh, menggunakan cuti kelayakan yang ada dan kemudian cuti tanpa gaji yang dilayaki dan akhirnya tindakan penamatan perkhidmatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|