Shafie gagal selesai masalah setinggan di Semporna: Nixon

Shafie gagal selesai masalah setinggan di Semporna: Nixon

Semporna: Kegagalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk ‘menamatkan’ permasalahan setinggan di kawasan perkampungan Bangau-Bangau, di sini, dilihat amat menyedihkan.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Semporna, Nixon Abdul Habi berkata, perjuangan Mohd Shafie yang hanya lantang bersuara terhadap isu-isu lain tetapi gagal untuk membela nasib rakyat di daerah itu, memperlihatkan sikap sebenar bekas Ketua Menteri Sabah itu.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Semporna, Nixon Abdul Habi

Jelasnya, penempatan Kampung Bangau-Bangau yang terjejas sejak insiden kebakaran pada 2015 lalu belum lagi dapat diselesaikan dengan jayanya dan beliau meminta supaya perkara tersebut diatasi segera.

“Ini memandangkan skop penempatan di daerah ini dilihat agak berterabur dan pada masa yang sama mereka mengambil sikap tidak peduli dengan permasalahan berkenaan.

Lokasi penempatan setinggan di daerah Semporna yang belum dapat diatasi sehingga kini.

“Sehingga kini, mangsa-mangsa kebakaran di kampung tersebut hanya mendiami kawasan setinggan kotor berhampiran penempatan Kampung Bangau-Bangau dan ia amat menyedihkan,” katanya.

Terdahulu, Nixon dalam masa yang sama menyelar kepimpinan WARISAN selaku wakil rakyat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semporna kerana tidak menyelesaikan permasalahan rumah setinggan di Kampung Bangau-Bangau, Kg Panji, Kg Air, Kg Simunul serta penempatan UNHCR di Kg Selamat.

“Mereka mewakili tiga kawasan DUN termasuklah Parlimen Semporna yang diwakili oleh bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sejak tahun 1995.

“Akan tetapi, masalah-masalah rumah setinggan ini masih gagal diatasi mereka.

“Apa yang dibimbangi sejak dahulu, masalah rumah setinggan ini telah menimbulkan pelbagai masalah seperti isu kebakaran, keselamatan, pembaziran utiliti, sampah sarap, masalah penyakit Covid-19 dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan dengan itu, menurut Nixon, pihaknya berharap supaya rakyat khasnya di daerah Semporna melihat perkara ini dengan wajar dan memikirkan kesinambungan yang telah dijanjikan pemimpin WARISAN kepada mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|