Bintulu: Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian mendedahkan, calon BEBAS bagi DUN Krian, Datuk Ali Biju boleh dikenakan tindakan disiplin oleh parti.
Beliau berkata, Bersatu Sarawak kekal teguh dan tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Open dalam memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.
Jelas beliau, Pihak Bersatu Sarawak juga akur dengan keputusan parti yang tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang bertanding pada pilihan raya tanpa kebenaran parti.
“Adalah jelas berdasarkan perlembagaan parti, ahli yang melanggar perlembagaan boleh berdepan dengan tindakan disiplin yang tegas, termasuk keahlian boleh terhenti serta merta.
“Oleh itu mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti termasuk Datuk Ali Biju boleh berdepan tindakan disiplin seperti yang sedia termaktub dalam perlembagaan parti namun dan pusat akan mengumumkan tindakan dalam masa terdekat,” katanya.
Jaziri Alkaf berkata demikian dalam satu kenyataan medianya bersempena Sambutan Ulang Tahun Ketiga BERSATU Sarawak peringkat Bahagian Bintulu bertempat di Hotel Li Hua, Bintulu, semalam.
Terdahulu, Ali Biju yang juga merupakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli dikatakan bertindak bertanding sebagai calon BEBAS di DUN Krian, Sarawak dalam PRN kali ini.
Beliau yang memenangi kerusi DUN tersebut pada tahun 2011 dan 2016 atas tiket PKR sebelum menyertai BERSATU.
Semalam, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan kekecewaan pihaknya apabila tindakan Ali Biju yang tetap bertanding atas tiket BEBAS meskipun BERSATU sebelum ini menyatakan hasrat tidak akan terbabit dalam PRN Sarawak.
-Deasoka