Sidang DUN Sabah: LRA Lahad Datu dijadual siap 2023

Sidang DUN Sabah: LRA Lahad Datu dijadual siap 2023

Kota Kinabalu: Masalah kekurangan bekalan air di Lahad Datu dijangka selesai apabila pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Lahad Datu siap pada Jun 2023.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata loji berkapasti membekal 60 juta liter sehari (JLS) itu dimulakan selepas Perjanjian Tambahan projek dimeterai pada 2 Mac tahun lalu.

Katanya, setakat 30 November 2021, kemajuan fizikal projek itu mencapai 7.4 peratus berbanding 9.8 peratus yang dijadualkan dengan kelewatan 2.4 peratus.

“Kelewatan itu disebabkan masalah kekurangan bahan daripada pembekal dan kelewatan kelulusan izin lalu kerja pemasangan paip,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya menjawab soalan Dumi Pg Masdal (WARISAN – Silam) mengenai status pembinaan LRA Lahad Datu di Sungai Segama.

Apabila siap, Bung Moktar berkata loji baharu itu disasar dapat membekal air terawat ke seluruh bandar Lahad Datu, kawasan Segama dan sebahagian kawasan Silam.

“Ia termasuk Kampung Jawa, Kampung Betik dan Taman Fajar, seterusnya ke Palm Oil Industrial Cluster (POIC),” katanya.

Ketika ini, empat LRA sedia ada di daerah itu hanya mampu mengeluarkan 74.2 JLS berbanding permintaan yang mencapai 90 JLS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|