Kes rasuah pejawat awam negeri turun 87 peratus

Kes rasuah pejawat awam negeri turun 87 peratus

Kota Kinabalu: Kes rasuah membabitkan pejawat awam di negeri ini turun sebanyak 87 peratus dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini hasil usaha bersepadu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penurunan ketara itu jelas memperlihatkan tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab bersama memerangi jenayah ini semakin meningkat.

Katanya, statistik SPRM menunjukkan sebanyak 47 kertas siasatan dibuka pada tahun 2018 dan menurun kepada 11 kes pada tahun 2019.

“Siasatan kemudiannya menurun kepada sembilan kes pada 2020 dan sehingga Ogos tahun ini hanya enam kes disiasat.

“Ini mencerminkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa peringkat Negeri Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Joachim Gunsalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjundan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kerajaan negeri juga mengambil langkah mewajibkan sektor awam mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) untuk memastikan tahap integriti tinggi kalangan pejawat awam dan menangani gejala rasuah.

“Saya menyeru kepada semua kementerian di negeri ini supaya turut memberikan komitmen yang padu dalam mengwujudkan OACP.

“Begitu juga dengan syarikat milik kerajaan negeri Sabah (GLC), pelaksanaan pelan itu adalah salah satu inisiatif dalam mempersiapkan organisasi komersial kerajaan agar mempunyai tatacara mencukupi selaras dengan peruntukan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Hajiji berkata, ketika ini, sembilan daripada 11 kementerian negeri sudah melaksanakan OACP masing-masing.

Katanya, selain daripada memantapkan lagi tadbir urus dan integriti, pelaksanaan OACP dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat Sabah terhadap sistem penyampaian pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

“Saya percaya jabatan dan agensi kerajaan negeri dibawah pimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah memberikan komitmen yang tinggi dan berusaha melestarikan integriti secara menyeluruh khususnya kepada seluruh Warga Perkhidmatan Awam di negeri ini.

“Ia bagi melakukan perubahan bersama-sama dengan menyedarkan masyarakat keseluruhannya bahawa perbuatan memberi rasuah adalah suatu kesalahan yang amat serius,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji menggesa masyarakat supaya memberi sokongan dan kerjasama dengan melaporkan kesalahan seperti salah guna kuasa dan rasuah di kawasan mereka kepada SPRM.

“Mereka yang memberi maklumat penting kepada SPRM akan dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|