Kimanis: Gara-gara seekor anjing melintas jalan, penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh selepas merempuh anjing berkenaan dalam kejadian di Jalan Kimanis, berhampiran Kampung Kinolosodon, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 30-an yang menaiki Yamaha NVX terpaksa mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan akibat kejadian berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan kenderaan RRV dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa penunggang motosikal lelaki cedera di tangan dan kaki manakala mangsa wanita pula cedera di kepala, kaki dan tangan.
“Kedua-dua mangsa terus diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik hospital yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mereka kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan Ambulans dan EMRS untuk mendapat rawatan selanjutnya.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 8.35 pagi.
-Deasoka