Sidang DUN Sabah: Konsortium terajui pelaburan baharu SFI

Sidang DUN Sabah: Konsortium terajui pelaburan baharu SFI

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri bersama agensi yang berkaitan akan menubuhkan sebuah konsortium bagi menerajui pelaburan baharu menggantikan syarikat yang mengendalikan Sabah Forest Industry (SFI) di Sipitang berikutan pengulungan syarikat itu, baru-baru ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata menerusi pelaburan baharu itu, kerajaan negeri akan mempunyai ekuiti 15 peratus dalam syarikat konsortium terbabit, berbanding dengan pemilikan 1.8 peratus dalam SFI sebelum ini.

“Ini bertujuan untuk menggiat dan mengaktifkan semula industri kayu-kayan di Sipitang, sekali gus bagi menangani isu kebajikan pekerja SFI yang terbabit.

“Pelaburan usaha sama baharu ini akan dipantau oleh kerajaan negeri dan yang paling penting pemilikan tanah perindustrian dan hutan akan tetap kekal sebagai hak negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan DUN Sabah, semalam.

Kerajaan negeri sudah mengambil semula semua tanah milik SFI berkeluasan lebih 200,000 hektar selepas syarikat kertas dan pulpa itu digulungkan, manakala lesen pembalakannya dibatalkan pada 1 September lalu.

Abidin berkata semua tanah, bangunan dan kilang milik SFI termasuk penjualan atau pelupusan aset akan diurus mengikut prosedur penggulungan yang ditetapkan Akta Insolvensi 1967, Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 dan undang-undang berkaitan.

“Ketidakupayaan SFI untuk membayar gaji pekerja dan kegagalan dalam menjaga kebajikan adalah antara sebab perjanjian lesen kayu balak syarikat itu dibatalkan pada 1 September 2021 demi kepentingan awam,” katanya

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menerima banyak permohonan daripada syarikat yang berminat untuk mendapatkan kawasan Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mapan (SFMLA) di daerah Sipitang itu.

Ketika ini, katanya kerajaan negeri sedang dalam proses memuktamadkan syarikat yang layak untuk diberikan Lesen SFMLA baharu di kawasan berkenaan, termasuk syarikat Kumpulan Al-Bukhary.

“Kumpulan Al-Bukhary adalah syarikat yang memenangi tender untuk menguruskan kawasan SFI sebelum ini. Justeru, tiada isu mengapa syarikat ini tidak dipertimbangkan sebagai salah satu syarikat usaha sama dengan kerajaan negeri untuk membentuk konsortium seperti yang disebutkan sebelum ini bagi mengurus kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menjelaskan daripada 15 peratus ekuiti atau pegangan dalam konsortium baharu yang akan ditubuhkan, lima peratus dipegang Yayasan Sabah, manakala 10 peratus oleh kerajaan negeri.

Katanya, pegangan itu dianggap memadai berbanding hanya 1.8 peratus sebelum ini kerana pada masa sama, kerajaan negeri turut mendapat bayaran royalti selain
tanah kekal milik kerajaan negeri walaupun diberikan kepada syarikat konsesi serta dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Walaupun belum ada aktiviti di sana ketika ini, sudah ada kira-kira 1,000 pekerja. Jika beroperasi nanti, lebih 10,000 orang dapat kerja,” katanya.

Bagaimanapun, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri mengambil maklum cadangan lain termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyuarakan jumlah pegangan yang lebih besar oleh kerajaan negeri.

“Bagus juga cadangan ini, kalau boleh kita naikkan, lagi bagus, saya lebih suka. Walaupun begitu kita serahkan nanti apabila semua teratur bawa balik ke Kabinet. Kita ambil perhatian cadangan Senallang ini,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Hajiji memberi jaminan kawasan tanah dalam konsesi SFI sebelum ini yang diduduki orang asal akan dikeluarkan dan diberi kepada penduduk terbabit seperti dipersetujui Kabinet negeri sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|