Sidang DUN Sabah: lebih 12 hektar disediakan kerajaan bangunkan Jesselton City

Sidang DUN Sabah: lebih 12 hektar disediakan kerajaan bangunkan Jesselton City

Kota Kinabalu: Lebih 12 hektar tanah di Likas disediakan kerajaan negeri untuk dibangunkan secara usaha sama (JV) dengan dua syarikat untuk mendirikan Jesselton City.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar memaklumkan kerajaan negeri melalui Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dan anak syarikatnya WHSB Ventures Sdn Bhd bekerjasama dengan tiga syarikat pelabur iaitu Vizione Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd dan Guangchai China (M) Sdn Bhd.

“Satu saja yang bertanggungjawab terhadap sky train dan dua lagi ini kerajaan akan menyediakan tanah 30 ekar (lebih 12 hektar) untuk dibangunkan oleh JV antara kerajaan negeri dengan syarikat yang bertanggungjawab ini untuk mendirikan Jesselton City dengan anggaran kos RM5 bilion.

“Tanah ini masih milik negeri Sabah, tidak kita jual dengan mana-mana cuma kita akan ada pembangunan termasuk taman tema dan hotel lima bintang akan dibangunkan dan sebagainya. Pada saya ini akan memberi tarikan kepada pelancong dalam negeri mahupun luar.

“Sebab di Sabah ini kita tidak ada taman tema, kita terpaksa ke Langkawi, Kuala Lumpur dan sebagainya dan kali ini kita sediakan taman tema pertama untuk riadah orang Sabah. Kedua untuk menarik orang luar datang ke Sabah,” katanya ketika menjawab soalan daripada Poong Jin Zhe (DAP-Luyang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, lewat malam tadi.

Beliau dalam pada itu berkata, kos untuk pembinaan sky train cuma RM1.4 bilion saja berbanding cadangan pembinaan monorail pada 2013 ke Sepanggar memerlukan kos sehingga RM5 bilion.

Ditanya sama ada kajian kemungkinan berhubung sky train sebelum cadangan pelaksanaan pengangkutan itu dilaksanakan, Bung Moktar berkata, beliau akan melawat China untuk tujuan itu.

“Ada. Selepas ini saya akan melihat sky train di China dan melawat kilang-kilangnya untuk memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.

Sebelum itu, Bung Moktar memberi jaminan kepada ADUN Luyang bahawa pengangkutan ini selamat untuk digunakan.

“Bukan mesti (guna sky train) cuma satu pilihan, kita juga akan mempelbagaikan aktiviti pengangkutan di Kota Kinabalu. Kalau Yang Berhormat ada cadangan lain, kaedah lain, kita tambah.

“Ini untuk kebaikan bandar raya Kota Kinabalu. Kita janji, sky train sangat selamat, jangan risau,” katanya.

Sebelum itu, dalam jawapan beliau memaklumkan bahawa cadangan perlaksanaan Sky Train adalah bagi memperbaiki sistem pengangkutan awam di bandar Kota Kinabalu dengan kos yang minima dan masa perlaksanaan yang singkat.

“Ini sekali gus dapat menyelesaikan masalah kesesakan di bandar raya ini. Kaedah PFI akan dipertimbangkan sewajarnya oleh kerajaan bagi perlaksanaan projek ini.

“Projek Sky Train ini adalah dalam peringkat perancangan dan perbincangan. Pihak kerajaan akan meneliti secara terperinci segala aspek yang berkaitan sebelum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai projek ini dari segi impak dan kesan ke atas ekonomi dan sosial termasuk alam sekitar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|