Isu karbon kredit cetus suasana tegang antara Jeffrey dan Shafie

Isu karbon kredit cetus suasana tegang antara Jeffrey dan Shafie

Kota Kinabalu: Isu karbon kredit mencetuskan perbalahan di antara Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sesi penggulungan Kementerian Pertanian dan Perikanan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlarutan hingga kira-kira jam 10 malam ini.

Kedua-dua pihak saling berbalas dakwaan berhubung perkara itu hingga menyebabkan suasana persidangan menjadi ‘panas’ apabila masing-masing cuba mempertahankan hujah berkaitan isu terbabit.

Di pihak Jeffrey, beliau menafikan dakwaan dikatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu, antaranya mengenai ‘menjual tanah’ berjuta hektar yang disebut Shafie sebelum ini.

Jeffrey turut menafikan pembabitan syarikat dari Australia yang disebut Mohd Shafie berdasarkan pencarian yang dilakukannya berhubung isu berkenaan, sebaliknya beliau mengakui menggunakan syarikat dari Singapura.

“Apa yang disebut semua itu tidak tepat, tentang menjual tanah itu. Kita hanya beri untuk percubaan 600,000 hektar dulu, kalau berjaya baru ditambah untuk program karbon kredit, bukan jual tanah,” katanya.

Mohd Shafie turut mempersoalkan kelayakan Jeffrey mewakili kerajaan untuk menjawab isu itu, selain bertanya sama ada Jeffrey diberi kuasa untuk menurunkan tanda tangan.

Bagaimanapun, Jeffrey menjelaskan beliau diberi kuasa untuk menjelaskan isu itu tetapi menafikan menandatangan sebarang dokumen yang berkaitan perjanjian bagi melaksanakan karbon kredit itu.

“Yang menandatangan ialah Ketua Konservator Hutan, saya saksi sahaja. Kawasan yang dimaksudkan ini ialah hutan simpan yang terletak di bawah kuasa Koservator Hutan.

“Tanah ini tidak lari ke mana-mana walau seinci pun. Kita bukan jual tanah, kita jual karbon kredit. Jadi ia mesti di bawah Jabatan Perhutanan,” katanya.

Isnin lalu, Mohd Shafie dicabar supaya membuktikan dakwaannya mengenai dua juta hektar tanah di negeri ini ‘dijual’ melalui perjanjian karbon kredit dengan syarikat luar.

Tiga wakil kerajaan termasuk Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, bangun meminta penjelasan Shafie Belanjawan Sabah 2022.

Jahid yang juga ADUN Tamparuli meminta Shafie memberikan bukti mengenai dakwaannya, manakala ADUN Sungai Manila, Mokran Ingkat menegaskan beliau tidak bersetuju dengan tuduhan bahawa kerajaan negeri menjual tanah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, pula bangun menyuarakan peraturan DUN bahawa kenyataan Shafie mengenai menjual dua juta hektar tanah itu sebagai satu sangkaan jahat kecuali ia dibuktikan.

Dalam perbahasannya, Shafie meminta supaya kerajaan negeri bersikap telus mengenai sebarang perjanjian berkaitan karbon kredit yang dikatakan sudah ditandatangani kerajaan negeri dengan syarikat berpangkalan di Singapura.

Katanya, jika benar perjanjian itu sudah ditandatangani, ia sesuatu yang membimbangkan kerana ia membabitkan soal tanah yang tidak sepatutnya diurus pihak luar.

Jelasnya isu itu timbul berikutan surat Peguam Besar Negeri yang dikatakan bertentangan dengan pendirian kerajaan untuk meneruskan perjanjian berkenaan yang membabitkan tempoh 100 tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|