Tunjuk minat untuk kerjasama, ‘signal’ GRS diiktiraf: Armizan

Tunjuk minat untuk kerjasama, ‘signal’ GRS diiktiraf: Armizan

KOTA KINABALU: Tawaran parti lain yang menunjukkan minat untuk berganding dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperlihatkan parti itu diyakini dan diiktiraf ramai pihak.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sekurang-kurangnya jika ada pihak parti lain atau luar yang berkehendakan sedemikian, ianya secara tidak langsung memberi kredit terhadap keupayaan parti berkenaan mengembeleng pentadbiran Sabah selama ini.

“Kita bersyukur juga sekurang-kurangnya ada dari kenyataan parti-parti tertentu, saya melihat ianya sebagai satu pengiktirafan, keyakinan kepada GRS dalam memimpin kerajaan di peringkat negeri.

“Kalau orang tidak yakin, orang tidak akan ada nafsu untuk berkerjasama dengan kita, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana wakil GRS khususnya mendepani pilihan raya negeri akan datang.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, pada Ahad mendedahkan secara terbuka pihaknya telah pun mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa parti politik yang berada dalam komponen GRS berhubung hal demikian.

Sementara itu, Armizan dalam masa yang sama menjelaskan setakat ini, GRS belum memuktamadkan sebarang rundingan untuk menjalinkan mana-mana kerjasama dengan parti lain selain GRS-PLUS.

“Komitmen kita untuk menyelesaikan mandat rakyat di negeri ini melalui kerangka kerjasama dalam GRS-PLUS yang sedia ada.

“Jadi sebarang cadangan lain, ianya tidak boleh secara individual di peringkat GRS untuk memberi pandangan tetapi dia perlu mendapatkan persetujuan secara konsesus dalam kerangka kerjasama sedia ada di GRS-PLUS,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|