Noraini Idris dipilih calon Senator baharu dari Sabah

Noraini Idris dipilih calon Senator baharu dari Sabah

Kota Kinabalu: Ketua Wanita UMNO Penampang, Noraini Idris dipilih sebagai calon Ahli Dewan Negara yang baharu dari Sabah.

Pemilihan beliau berkuatkuasa esok, 10 Disember 2021 bagi menggantikan Datuk Donald Peter Mojuntin daripada UPKO yang tamat perkhidmatan.

Noraini yang berasal dari Penampang dan berdarah Kadazan adalah seorang peguam yang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak sejak 27 tahun lalu.

Beliau juga adalah Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah dan kini menjadi Setiausaha Politik di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

Pencalonannya diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan disokong Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Undian di DUN Sabah hari ini menyaksikan pencalonan Noraini mendapat sokongan 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), enam berkecuali, enam tidak hadir, manakala tiada menolak.

Speaker DUN, Datuk Kadzim Yahya kemudian mengumumkan pelantikan Noraini sebagai Senator baharu dari Sabah dan akan mempersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|